Sahabat Saya...

Tuesday, 29 May 2012

Bab 5


Raja Faridah
 menyambut kepulangan suaminya dengan senyuman. Kasihnya pada sang suami tidak pernah berbelah bagi meskipun dia telahpun diduakan. Dia masih ingat lagi betapa peritnya saat itu. Maki hamun, caci-cerca diterimanya apatah lagi sepak terajang yang menyakitkan. Demi anaknya yang kian membesar dia bersabar meskipun dia menanggung seksa. Kini kesabarannya bebalas. Entah mengapa semakin hari Megat Saifuddin semakin dekat dengan dirinya. Kalau tidak diingatkan giliran madunya, suaminya tidak akan menjengah. Biarlah dia tidak mahu membalas sakit hati yang diberikan madunya dahulu.
            “ Abang..macam mana keadaan di Armsterdam? Lancar ke projek pembinaan lebuh raya tu?” soal Raja Faridah mengambil hati meskipun dia tidak pernah berminat.
            “ Alhamdulillah..semua berjalan lancar.. Oh ya Dah..anak kita Jimi ke mana?” soal Megat Saifuddin.
            “ Abang dah lupa ke anak kita tu dah berkahwin..” ujar Raja Faridah.
            “ Lailahaillallah..saya lupa.. bila saya nak jumpa menantu saya tu Dah?” soal Megat Saifuddin.
            “ Ha..apa kata kita ke rumah mereka esok? Tak payahlah bagitahu. Kita buat kejutan..” ujar Raja Faridah.
            “ Betul juga kata awak tu..” jawab Megat Saifuddin bersetuju.
            “ Abang tak nak pergi jumpa Afifah ke?” soal Raja Faridah.
            “ Minggu ni giliran dia ke?” soal Megat Saifuddin kembali.
            “ Bukan macam tu..abang kan baru balik..enam minggu abang dekat sana, jadi saya rasa tak ada salahnya kalau abang pergi jumpa dia,” ujar Raja Faridah.
            “ Awak tak cemburu ke?” soal Megat Saifuddin mengusik.
            “ Nak cemburu apanya bang? Dah tua-tua ni tak kuasa nak melayan cemburu,” jawab Raja Faridah sambil mengukir senyuman. Isteriku ini begitu baik..aku begitu menyesal menyia-nyiakannya dahulu.. detik hati Megat Saifuddin.

HAZIMI mendail nombor telefon Amiera. Hatinya segera berbisik agar Amiera segera menjawab panggilannya.
            “ Assalamualaikum..” ucap Amiera sebaik saja panggilan berjawab.
            “ Walaikumussalam.. Miera kita ada masalah ni,” ujar Hazimi. Amiera mengerutkan wajahnya. Baru saja salam bersambut sudah diterjah begitu.
            “ Tenang Hazimi..apa masalahnya ni?” soal Amiera.
            “ My parents are here,” ujar Hazimi.
            “ What?”

 AMIERA menyalami Megat Saifuddin dan Raja Faridah.  Lantas duduk di samping suaminya.
            “ Kenapa mama dan papa datang tak bagi tau. Kalau tidak boleh Miera masakkan yang istimewa sikit,” ujar Amiera.
            “ Miera boleh masak ke?” soal Megat Saifuddin.
            “ Papa.. Miera ni walaupun berpelajaran tinggi tapi pandai memasak.. Itu yang saya bertambah sayang padanya tu,” ujar Hazimi lantas menciumi pipi Amiera. Amiera tersentak. Pertama kali dia diperlakukan begitu oleh seorang lelaki. Wajahnya merona merah. Degupan jantungnya mulai tidak sekata. Serta-merta tangannya mencubit paha Hazimi.
            “ Abang..malulah sikit mama dan papa tengok ni,” ujar Amiera geram.
            “ Alah apa salahnya. Miera kan isteri abang.. papa dan mama tak boleh marah,” ujar Hazimi lantas memeluk pinggang Amiera. Amiera merasa berbahang. Malu rasanya diperlakukan begitu di hadapan mentua. Raja Faridah dan Megat Saifuddin ketawa gelihati melihat pasangan itu.
            “ Jimi..lepaskanlah Miera.. mama faham orang perempuan ni. Malu… yang kau peluk dia depan mama ni nak suruh mama dan papa cemburu ke?” ujar Raja Faridah. Hazimi tersengih. Rangkulannya dilepaskan.
            “ Abang Miera ke pasar kejap.. nak cari bahan untuk masak,” ujar Amiera sopan. Hazimi memandang wajah mama dan papanya.
            “ Boleh tak mama..papa.. lagipun dekat dapur tu bahan-bahan semua dah hampir habis..” pinta Amiera kepada kedua mentuanya pula.
            “ Pergilah Amiera papa izinkan,” ujar Megat Saifuddin.
            “ Macam mana bang?” soal Amiera kembali.
            “ Pergilah..beli barang masakan makanan kegemaran abang ya,” pesan Hazimi manja. Amiera mengangguk.
            “ Miera..mama ikut.. boleh kan bang,” pinta Raja Faridah. Amiera memandang wajah bapa mentuanya. Ada seulas senyuman di situ. Raja Faridah lantas bangkit membuntuti Amiera.




RAJA FARIDAH hampir kelelahan mengikut rentak hayunan langkah menantunya.
            “ Miera, perlahan lah sikit jalan tu. Kot ye pun Miera tu muda lagi, ingatlah orang tua ni sayang oi,” laung Raja Faridah. Amiera mematikan langkahnya sambil tersenyum memandang ibu mentuanya.
            “ Sorry la ma. Tak ingat yang Miera bawak warga emas…hehehe. Ye la, mama nampak muda lagi,” jawab Amiera selamba mengusik mentuanya.
            “ Ye la tu. Kamu ni Miera ada-ada aje,” ujar Raja Faridah sambil tersenyum.
          “ Miera macam mana hidup dengan Jimi?” soal Raja Faridah semasa mereka sedang memilih sayur-sayuran. Amiera kaget seketika namun masih mampu mengawal riak wajahnya.
            “ Abang baik ma.. dia jaga Miera macam menatang minyak yang penuh. Hari tu air panas tumpah atas kaki Miera tapi dia yang risau lebih-lebih, siap nak bawa ke klinik lagi. Dia lupa agaknya yang isteri dia ni doktor,” ujar Amiera lantas mengukir senyuman yang manis. Raja Faridah tersenyum bangga dengan kata-kata Amiera. Amiera berjalan meolak troli ke arah rak makanan basah pula.
            “ Lega hati mama mendengarnya. Mama fikir kamu berdua berlakon saja depan mama dan papa,” ujar Raja Faridah. Gulp.. Amiera menelan liur yang terasa pahit. Serasa berdosa pula membohongi mentuanya.
            “ Tak adalah mama.. Alhamdulillah walaupun jodoh kami diatur, kami bahagia,” ujar Amiera sambil tangannya memilih-milih daging mentah yang berbungkus rapi.
            “ Mama..mama nak makan apa?” soal Amiera. Raja Faridah terkejut.
            “ Kenapa Miera tanya?” soal Raja Faridah kembali.
            “ Tak la..kalau ada apa-apa yang mama teringin makan, boleh Miera masakkan. Itupun kalau Miera pandai nak buat masakan tu,” ujar Amiera.
            “Mama rasa..mama dah lama tak makan masakan kampung.. Apa kata Miera masakkan gulai tempoyak,” cadang Raja Faridah.
            “ Boleh mama tapi mama nak ikan apa?” soal Amiera pula.
            “ Ikan baung boleh tak Miera?” pinta Raja Faridah. Amiera berfikir seketika.
            “ Kalau macam tu… jom mama kita ke pasar. Ada ikan sungai yang segar,” ujar Amiera lantas menolak troli ke kaunter untuk membayar harga barangan yang di belinya.

RUMAH itu terasa berbahang. Hazimi bagaikan tidak senang dengan kehadiran papanya.
            “ Kamu macam mana dengan Amiera, Hazimi?” soal Megat Saifuddin.
            “ Kami baik papa. Miera selalu layan saya macam raja. Semua permintaan saya Miera tunaikan,” ujar Hazimi.
            “ Baguslah macam tu, papa tak nak Jimi buat kesilapan yang sama seperti yang papa pernah buat pada mama kamu dulu,” pesan Megat Saifuddin.
            “ Saya tahu papa..saya tak akan menduakan Amiera sebab saya tahu keperitan seorang perempuan bila diri dipaksa berkongsi suami dengan wanita lain,” ujar Hazimi separuh menyindir. Megat Saifuddin tersentak mendengar kata-kata anaknya. Dia tahu anaknya masih marah. Betapa dia mengabaikan anaknya sendiri demi seorang wanita yang pandai menggoda. Dia redha jika anaknya tidak dapat memaafkan dirinya. Dia faham malahan dia tahu dia terlalu berdosa terhadap anak dan isterinya.
            “ Kerana itulah kalau boleh papa tak nak Jimi mengulangi kesilapan bodoh yang sama seperti papa lakukan suatu waktu dulu. Melukai insan yang amat mencintai kita,” ujar Megat Saifuddin lemah. Suasana kembali sunyi. Hazimi memang tidak pernah pandai bercerita dengan papanya. Mungkin kerana zaman kecilnya yang pahit.
“ Assalamualaikum..” laung Amiera. Hazimi bangkit lantas membuka pintu.
            “ Abang tolong angkatkan barang-barang dalam bonet kereta Miera kejap,” pinta Amiera. Hazimi menurut. Mata Hazimi membuntang apabila memandang barang-barang yang dibeli isterinya.
            “ Sayang oi.. kita berempat saja yang awak pergi beli barang banyak-banyak ni buat apa?” soal Hazimi.
            “ Buat makan lah bang. Tak apa barang yang tak nak masak hari ni simpan dalam peti ais. Tak payah la esok saya nak ke pasar lagi,” jawab Amiera.
            “ Lailahaillallah..banyaknya Miera beli makanan.. nak bagi siapa makan ni,” ujar Megat Saifuddin yang turut menjenguk melihat keriuhan suasana. Amiera hanya tersenyum
            “ Ala bang tak apalah. Bersemangat benar dia nak suruh kita makan masakan dia,” ujar Raja Faridah pula.
            “ Ala papa..papa kan baru pertama kali makan dengan Miera..mestilah Miera semangat nak masak untuk papa,” jawab Amiera lalu menuju ke dapur. Raja Faridah mengikut menantunya. Hajat di hati ingin membantu. Tangannya cepat saja mencapai kacang panjang lalu dibilasnya..
            “ Mama buat apa ni? Tak payah masak lah mama.. biar Miera aja. Mama kan tetamu tak manis pula,” ujar Amiera lembut sambil mengambil kacang panjang yang sudah hampir siap dihiris Raja Faridah.
            “ Ala Miera..alang-alang mama dah buat sikit tu biarlah mama habiskan,” ujar Raja Faridah cuba mengambil kacang panjang itu kembali.
            “ Tak apa lah mama. Mama tengok aja menantu mama buat kerja. Ha kalau ada yang tak kena boleh mama tegur. Nanti kalau sama-sama buat kerja tak perasanlah mana silapnya,” jawab Amiera berhujah. Raja Faridah tersenyum. Dia duduk di meja yang disediakan di dapur. Diperhatikan Amiera yang begitu cekap di dapur. Bukan itu sahaja, Amiera begitu menitik beratkan kebersihan. Raja Faridah tersenyum lega. Hatinya benar-benar gembira kerana menantu pilihannya memang benar-benar sempurna di matanya.
            “ Miera..kalau mama nak bermalam di sini malam ni boleh ke?” soal Raja Faridah tiba-tiba. Amiera tergamam. Hampir saja pisau di tangannya terlepas namun rasa hati yang sedang bergelodak tetap disembunyikan.
            “ Miera tak boleh nak kata apa-apa mama. Rumah ni rumah abang jadi Miera tak berani nak buat keputusan. Mama tanyalah sendiri pada abang,” balas Amiera bersahaja.
            “ Eh..apa pula bukan rumah Miera? Kalau Jimi beli mestilah rumah ni pun milik Miera juga.” Ujar Raja Faridah pula.
            “ Yalah..itu memang betul mama..tapi sebagai seorang isteri..Miera kan tak boleh membelakangkan suami. Apa-apa pun..Miera kena tanya abang dulu la,” jawab Amiera. Raja Faridah tersenyum. Entah mengapa jawapan Amiera seakan-akan memberitahunya Amiera sememangnya pembawa kebahagiaan kepada anaknya dan Amiera juga merupakan isteri yang solehah.

MEGAT SAIFUDDIN hampir tidak percaya melihat hidangan makanan di hadapannya.
            “ Banyaknya lauk Miera masak.. ada sup ayam..gulai tempoyak ikan baung..daging masak merah..kailan ikan masin..sayur kacang panjang masak tumis dan salad buah-buahan ,” ujar Megat Saifuddin kagum. Aroma makanan yang terhidang benar-benar membuatkan dirinya tidak sabar menyantap masakan menantunya.
            “ Ha.. kalau abang nak tahu..semua lauk ni Miera sorang yang masak. Saya nak tolong pun langsung tidak dikasinya. Puaslah saya termenung kat dapur tadi,” ujar Raja Faridah sambil memandang Amiera yang tunduk tersipu malu.
            “ Ala papa..mama..  masakan biasa je,” ujar Amiera. Lantas menjeling suaminya yang diam tak terkutik. Amiera bangkit dari duduknya lalu mengambil air basuhan tangan dan menuangnya ke atas tangan suaminya. Kemudian Amiera menyendukkan nasi dan lauk-pauk untuk suaminya pula. Akhir sekali barulah Amiera menuang minuman ke dalam gelas Hazimi. Selesai menguruskan suaminya barulah Amiera melayani mentuanya pula. Raja Faridah begitu kagum dengan layanan Amiera. Aku dulu pun tak pernah layan suamiku sehebat Miera menantuku ini. Mungkin ini sebabnya aku dimadukan…desis Raja Faridah.
            “ Abang bacalah doa makan..anak menantu kita ni dah tak sabar-sabar nak makan. Saya pun nak juga merasa masakan menantu tunggal saya ni,” ujar Raja Faridah. Megat Saifuddin mengangguk lantas doa makan dibacakan. Raja Faridah terus memerhatikan kelakuan Amiera. Dia seakan-akan tersentak tatkala dia menyedari Amiera hanya menyuapkan nasi ke dalam mulutnya sebaik saja Hazimi menyudahkan suapan petamanya. Ya Allah..menantuku ini benar-benar menghormati suaminya..ujar Raja Faridah seakan berbisik sendiri.
            “ Erm..sedap lauk-pauk yang Miera masak,” ujar Megat Saifuddin memecahkan suasana sunyi. Amiera hanya tersenyum mendengar kata-kata bapa mentuanya.
            “ Betullah Miera..masakan Miera memang sedap. Dah 58 tahun mama hidup..inilah masakan kedua yang paling sedap pernah mama rasakan,” ujar Raja Faridah turut memuji. Hati Amiera kembang dibuatnya.
            “ Tapi kan mama..kenapa yang kedua bukan yang pertama?” soal Amiera ingin tahu.
            “ Yalah Miera..masakan paling sedap mestilah dari mak mama. Tak ada orang yang boleh lawan masakan seorang ibu tau,” ujar Raja Faridah lembut. Amiera terangguk-angguk sambil tertawa kecil. Dia sendiri merasakan masakannya tidak dapat menandingi masakan uminya. Sekilas wajah Ummi Zaharah terbayang di ruang matanya. Baru saja berpisah selama enam minggu dia sudah begitu merindui uminya itu.
            “ Jimi.. mama ingat nak bermalam di sini malam ni.. boleh?” pinta Raja Faridah. Hazimi menghentikan suapannya. Amiera disebelah dijeling mengharap bantuan untuk meloloskan diri namun Amiera pura-pura tidak mengerti.
            “ Ish..awak ni Dah.mereka kan baru saja kahwin. Baru aja sebulan lebih janganlah diganggu privacy dia orang,” sangkal Megat Saifuddin pantas. Raja Faridah mula menarik muka masam.
            “ Eh abang ni.. Jimi tak cakap apa-apa pun lagi,” ujar Raja Faridah.
            “ Boleh mama..papa. tak ada salahnya. Lagipun kalau malam ni mama boleh rasa masakaan makan malam menantu mama..pagi esok mama boleh rasa masakan sarapan pagi pula,” ujar Hazimi. Raja Faridah tersenyum senang.
            “ Tapi ma..mama ada bawa baju ke?” soal Hazimi. Raja Faridah mengeluh kecil.
            “ Ya tak ya juga kan. Mama ni harapkan baju ni ajalah. Bang apa kata kita pergi beli baju,” usul RajaFaridah pada suaminya. Megat Saifuddin hanya mengangguk setuju.
            “  Miera..dekat mana gedung pakaian kawasan perumahan ni?” soal Raja Faridah pada menantunya itu. Amiera terdiam seketika.
            “ Kalau gedung tu tak adalah mama…tapi kalau setakat butik tu adalah,” ujar Amiera lembut.
            “ Butik pun tak apalah. Dekat mana Miera?” soal Raja Faridah.
            “ Mama ingat tak tempat kita beli ikan tadi?” soal Amiera. Raja Faridah mengangguk.
            “ Ha..selang dua blok dari situ ada sebuah butik yang bukak sampai pukul sepuluh. Sekarangkan baru pukul lapan jadi mama masih ada masa dua jam saja lagi,” ujar Amiera. Raja Faridah mengangguk.

USAI menjamu selera Raja Faridah segera bersiap.
            “ Miera tak nak ikut sekali ke?” soal Raja Faridah. Amiera menggeleng.
            “ Miera tak boleh tinggalkan abang,” ujar Amiera. Raja Faridah mengangguk mengerti. Lantas menuju ke arah kereta Honda Preludenya. Suaminya sudahpun menunggu di dalam kereta. Amiera melambai-lambaikan tangannya kearah kereta yang yang dipandu oleh bapa mentuanya yang mulai bergerak meningalkan perkarangan rumah.
            “ Miera.. are you crazy?” ujar Hazimi sambil menggoncangkan bahu Amiera.
            “ Kenapa pula?” soal Amiera tidak mengerti.
            “ Awak nak suruh mama dan papa tahu ke kita tak tidur sebilik? Awak tahu tak saya sengaja tanya mama pasal pakaian dia,” ujar Hazimi.
            “ Hazimi..perjalanan ke butik tu ambil masa setengah jam. Mama nak pilih baju pun ada lah dalam setengah jam. Balik pun mestilah setengah jam. Jadi kita masih ada satu jam setengah untuk memunggah barang-barang awak masuk ke dalam bilik saya. Jadi..apa lagi,..kita mulakan kerja,” ujar Amiera lantas menuju ke bilik Hazimi. Hazimi terkedu dengan sikap selamba Amiera.         


     
 AMIERA duduk melepaskan lelah. Segala barang-barang Hazimi telahpun dipunggah kebiliknya dalam masa empat puluh lima minit. Penat rasanya terkejar-kejar begitu. Kini bilik tetamu telahpun dikosongkan. Amiera mengambil air freshner lantas disemburkannya di dalam bilik tetamu untuk memberi kesegaran. Sarung bantal dan cadar telah pun berganti. Mujurlah Hazimi ada membantu, kalau tidak matilah dia untuk menguruskan semua itu sendirian.
            “ Miera..saya tak sangka kita dapat selesaikan semuanya secepat ini,” ujar Hazimi lantas melabuhkan punggungnya di sisi Amiera. Amiera mengensot sedikit menjauh.
            “ Awak ada tengok cerita Wonderpets tak?” soal Amiera tiba-tiba. Hazimi menggeleng. Masakan seorang guru menonton cerita kartun.
            “ Ha.. dalam cerita tu..dia orang selalu nyanyi..apa yang penting? Kerjasama. Apa yang penting? Kerjasama. Bila bekerjasama semua jadi mudah,” ujar Amiera sambil menyanyikan lirik lagu tersebut. Hazimi ketawa gelihati.
            “ Miera..awak ni dah besar panjang pun masih tengok cerita kartun lagi? Tak malu ke seorang doktor menonton cerita kartun,” ujar Hazimi.
            “ Ala join anak-anak saudara sekali-sekala. Tapi sebenarnya kita dah silap. Kadang-kadang kartun ni memberi kita pengajaran..dah la bagi pengajaran..seronok pula tu. Kadang-kadang ada juga yang memberi kita pengetahuan am,” ujar Amiera panjang lebar. Kata-kata Amiera yang terakhir benar-benar menarik perhatian Hazimi.
            “ Apa buktinya tengok kartun ni boleh bagi pengetahuan am?” soal Hazimi penuh minat.
            “ Sebelum saya bertolak ke Tokyo dulu..saya kena belajar budaya orang Jepun. Jadi saya tengoklah anime dia,” ujar Amiera.
            “ Apa kaitannya?” soal Hazimi.
            “ Kebanyakan anime Jepun menggambarkan budayanya. Contohnya dia ada sambutan seratus hari dengan kekasih..orang Jepun juga ada festival bunga api masa musim luruh..mereka juga percaya pada kuasa empat dewa..iatu Suzuku, Seiryu, Genbu dan satu lagi saya dah tak ingat. Ha..bukankah menambah pengetahuan am,” ujar Amiera panjang lebar.
            “ Jadi..apa lagi yang awak belajar pasal Jepun melalui kartunnya?” soal Hazimi penuh minat.
            “ Bukan kartun tapi anime. Kartun untuk mat salleh punya dan anime untuk Jepun punya.  Kalau mat salleh kita panggil komik tapi kalau Jepun punya panggil manga,” ujar Amiera. Hazimi mengangguk.
             “ Mereka percaya pada lagenda bidadari dan mereka yakin ada diantara mereka merupakan anak cucu bidadari. Sampaikan tarian mereka pun ada tarian bidadari. Kalau bab tarian saya paling suka Kabuki sebab ianya mengandungi gerakan yang lemah lembut dan menawan.. dan awak nak tau yang menariknya..” namun belum pun sempat Amiera menghabiskan kata-katanya kedengaran enjin kereta di halaman rumahnya menderum masuk ke garaj.
            “ Papa dan mama dah balik la,” ujar Amiera lantas turun dari tingkat dua rumah itu.
            “ Assalamualaikum,” ujar Raja Faridah. Amiera dan Hazimi menjawab salam seadanya.
            “ Macam mana mama..dah beli baju yang mama nak?” tanya Amiera mesra.
            “ Ada..ni ha mama belikan gaun kembang untuk kamu . Mama agak-agak muat dengan kamu ni. Kalau tak muat kita pergi tukar esok,” ujar Raja Faridah lantas menghulurkan sehelai gaun yang cukup menawan. Gaun itu diperbuat dari kain  sutera, dan baldu malahan ianya turut bertekad emas. Kain baldu bermula dari paras tengkuk ke pinggang. Lengan baju pula dibaluti renda dan kain kembangnya diperbuat dari sutera bercampur lace. Berenda bermula di dada ke paras pinggang. Cukup cantik. Warna hijau pucuk pisang yang amat menawan.
Amiera menekup mulutnya.
            “ Mama..cantiknya..Miera tak boleh terima..” ujar Amiera.
            “ Miera..anggaplah ini hadiah dari mama kerana sudi jadi menantu mama. Menjadi isteri kepada anak mama dan menjadi ibu kepada bakal cucu-cucu mama,” ujar Raja Faridah. Amiera terharu lantas merangkul ibu mertuanya. Raja Faridah membalas pelukan Amiera.
            “ Mama terima kasih..buat susah je,” ujar Amiera sebaik saja melepaskan rangkulannya.
            “ Tak ada apa yang susahnya. Miera la satu-satunya menantu mama,” ujar Raja Faridah.
            “ Ye la..masa ni satu-satunya lah..tapi tak tau la masa depan. Betulkan bang,” ujar Amiera sambil mengenyit mata pada suaminya tanda mengusik.
            “ Eh..Miera ni.. tak baik cakap macam tu tau.. takkanlah Jimi nak menduakan Miera. Dia tahu rasanya peritnya diduakan tau,” ujar Raja Faridah. Megat Saifuddin terasa dengan kata-kata isterinya tapi dia tahu isterinya tidak bermaksud untuk menyakitkan hatinya.
            “ Mama..manalah tau. Anak mama ni kan ramai peminat..manalah tau dia berubah hati pula nanti,” usik Amiera lagi.
            “ Kalau Jimi nak menduakan Miera..langkah mayat mama dulu. Jimi tak akan mama mengaku sebagai anak,” ujar Raja Faridah serius.
            “ Eh..mama ni jangan lah serius sangat..Miera gurau je.. Miera yakin abang tak akan menduakan Miera..kan bang,”ujar Amiera pada suaminya.
            “ Ya mama. Kalau Miera saya duakan mama boleh bunuh saya,” ujar Hazimi lantas memeluk bahu mamanya. Raja Faridah menepuk pipi Hazimi lembut. Megat Saifuddin terasa terpinggir.
            “ Baiklah mama..hari pun dah lewat ni..mama dengan papa masuk lah tidur dekat bilik tetamu tu. Bilik tu Miera dan abang dah kemaskan tadi,” ujar Amiera lantas menyalami kedua-dua mentuanya.
            “ Selamat malam mama..papa..have a nice dream. Assalamualaikum,” ujar Hazimi lalu mendukung Amiera yang sedang menunggunya di tangga. Amiera hampir saja menjerit tekejut. Mujurlah dia masih mampu mengawal dirinya. Sesampainya di kamar mereka, Hazimi menurunkan isterinya. Amiera mencuka. Perasaan malu masih menguasai dirinya.
            “ Awak..kenapa awak buat macam tu depan papa dan mama? Saya malu tau tak..dari petang tadi lagi saya cuba bersabar dengan perangai awak ni,” ujar Amiera keras. Hazimi menguak anak rambutnya yang berjuntaian ke belakang.
            “ Miera..saya buat semua ni untuk buat mama dan papa percaya yang kita betul-betul bahagia..” ujar Hazimi tenang.
            “ Apa awak cakap? Dahlah tadi peluk pinggang saya lepas tu dukung saya ke bilik..awak ingat saya tak rasa malu ke. Dahlah tu depan parents awak pulak..” gumam Amiera
            “ Dahlah..lagipun ini bukan kali pertama saya dukung awak. Ni dah kali kedua dah..” jawab Hazimi selamba. Amiera mula merasakan dirinya dipermainkan.
            “ Oh..jadi awak nak ungkit hal hari tu la.. Well hello hari tu saya tak suruh awak tolong saya pun,” ujar Amiera.
            “ Miera..kaki awak terkena air panas dan sebagai suami tak kanlah saya nak biarkan isteri saya kesakitan,” ujar Hazimi membela diri.
            “ Habis tu..yang tadi tu? Saya tak sakit pun. Kaki saya tak ada kena apa-apa..yang awak dukung saya jugak tu kenapa,” ujar Amiera marah.
            “ Awak tau tak Jimi.. saya dah tak sanggup lagi..mama benar-benar mengharapkan kita bahagia. Kita tipu dia..saya rasa bersalah Jimi..” keluh Amiera. Hazimi melepaskan hembusan nafas yang agak kasar.
            “ Habis awak nak suruh saya buat apa? Memberitahu mama perkara sebenar?” ujar Hazimi pula. Amiera menggeleng lemah.
            “ Miera..daripada kita bergaduh tentang hal yang berlaku..lebih baik kita fikirkan macam mana kita nak tidur malam ni,” ujar Hazimi mengalih topik.
            “ Senang aja..” jawab Amiera.
            “ Senang? Maksud awak?” ujar Hazimi meminta penjelasan.
            “ Ini bilik saya jadi saya tidur atas katil..dipersilakan awak tidur di katil sofa tu,” ujar Amiera sambil menunujukkan kearah katil sofa yang boleh diubahsuai.
            “ Sampai hati awak..” ujar Hazimi.
            “ Eh..tolong sikit ye..ini bilik saya. Suka hatilah saya nak suruh awak tidur dekat mana pun.. takkanlah nak suruh awak tidur sekatil dengan saya?” ujar Amiera.
            “ Apa salahnya.. Saya ada hak ke atas awak. Kalau saya minta hak saya awak tak boleh tolak sebab saya yang berhak ke atas awak. Awak telahpun diikat dengan lafaz akad saya. Kalau awak menolak awak dah dikira isteri derhaka,” ujar  Hazimi mengusik. Muka Amiera mula berubah pucat. Dia takut dengan kata-kata Hazimi. Hazimi bagaikan meminta haknya sedangkan dia masih belum bersedia lagi. Hazimi menapak menghampiri Amiera. Amiera berundur ke belakang. Sedikit demi sedikit tapi akhirnya dia rebah ke atas katil apabila sudah tiada ruang lagi untuknya melarikan diri. Amiera menutup matanya. Terasa hembusan nafas suaminya menampar pipinya. Dadanya berdebar kencang.
            “ Jangan..saya uzur!” ujar Amiera. Senyap.Tiba-tiba dia sudah tidak merasakan hembusan nafas Hazimi lagi. Dia membuka matanya. Hazimi memandangnya dengan senyuman nakal.
            “ Tau takut. Jangan nak cabar saya lagi,”ujar Hazimi lantas berlalu ke tempat peraduannya. Amiera mengetap bibirnya menahan marah.

HAZIMI memandang wajah Amiera yang lena dibuai mimpi. Wajah isterinya yang cantik itu direnung lama. Wajah yang pernah singgah di hatinya. Eh..kenapa dia tak bangun lagi ni? Biasanya pukul lima dah bangun.. sekarang lima empat puluh lima. Selalunya dia dah bangun untuk berjemaah dan sediakan sarapan untuk aku..desis Hazimi.
            “ Miera..bangun..dah nak subuh,” kejut Hazimi. Amiera membuka matanya. Wajah suaminya direnung.
            “ Awak ni kan..saya dah bagi tau saya uzur la,” ujar Amiera. Hazimi menggaru-garu kepalanya. La..aku ingat alasan dia je..desisnya.
            “ Kalau awak nak sambung tidur tak apalah. Saya turun jemaah dengan papa dan mama ya,” ujar Hazimi lantas berlalu.
            “ Jimi..terima kasih kejutkan saya,” ujar Amiera. Hazimi cuma mampu tersenyum.
Amiera bangkit lalu masuk ke bilik air.

USAI mandi, Amiera membuka almari baju. Diambil baju suaminya yang telah di seterika lalu disangkutkan di tempat penyangkut. Amiera turun ke dapur. Air panas di jerang. Amiera menggoreng mee untuk sarapan pagi. Dua biji telur separuh masak dan empat keping roti bakar disaluti jem nenas buatan uminya. Dia tahu Hazimi amat menggemari sarapan pagi yang tidak terlalu berat tetapi memandangkan mentuanya turut ada bersama terpaksalah dia menyediakan mee goreng.
            “ Patutlah papa asyik tercium bau sedap je..Miera tengah masak rupanya,” ujar Megat Saifuddin sambil melangkah ke dapur. Menjadi kebiasaannya untuk makan ubat seawal pagi. Amiera tersenyum.
            “ Duduklah papa..Miera nak panggilkan mama dan abang. Ermm..papa minum tak teh hijau?” soal Amiera.
            “ Papa minum semua jenis minuman Miera,selagi halal,” ujar Megat Saifuddin. Amiera mengangguk. Tidak lama kemudian meja makan sudahpun dikelilingi oleh mereka berempat.
            “ Mama, rasalah mee goreng ni. Maaflah kalau tak sedap,” pelawa Amiera sambil meyuakan sepinggan mee goreng kepada mentuanya. Raja Faridah menyambut huluran Amiera. Dicubanya sesuap.
            “ Sedap mee goreng Miera..belajar dengan siapa?” soal Raja Faridah setelah mereka lama membisu.
            “ Dengan umi mama. Umi cakap resepi mee goreng ni rahsia keluarga,” ujar Amiera.
            “ Kedekutlah umi Miera tu,” ujar Raja Faridah.
            “ La mama pun ahli keluarga. Nanti Miera bagi resepinya ya,” ujar Amiera. Hazimi tidak menghiraukan perbualan antara mama dan isterinya. Dia cepat-cepat menghabiskan rotinya lantas bangun untuk menghantar piring ke singki.
            “ Jimi..kau makan roti je ke? Rugi tau tak makan mee goreng Miera ni… Sedap,” tegur Megat Saifuddin sambil memuji menantunya.
            “ Tak apa lah papa. Nanti saya bawa bekal,” ujar Hazimi mengusik Amiera. Amiera cuma membatukan diri.
            “ Eh..bagus jugak. Boleh kau jadi contoh untuk budak-budak yang kau ajar tu supaya berjimat,” ujar Raja Faridah. Hazimi mula mengerutkan muka. Amiera sudahpun tersenyum-senyum menahan tawa.
            “ Mama..Jimi gurau je lah,” ujar Hazimi.
            “ Memanglah Jimi bergurau tapi mama serius. Bawa bekal ya,” ujar Raja Faridah lantas bangun dari duduknya dan mencapai tupperwere. Diletakkan mee goreng ke dalamnya. Hazimi mula tak senang duduk. Dikerlingnya Amiera yang tersenyum. Hazimi geram. Amiera seakan-akan mengejeknya.
            “ Mama, papa Jimi pergi dulu..takut lewat pulak nanti,” ujar Hazimi lantas menyalami Raja Faridah dan Megat Saifuddin. Amiera menghampiri Hazimi lantas disalaminya tangan itu. Hazimi memberikan ciuman mesra di pipi isterinya. Amiera cuma diam tak terkutik. Hazimi cepat-cepat melangkah ke muka pintu.
            “ Jimi oi.. ni bekal Jimi ni,” laung Raja Faridah. Hazimi berpatah balik sambil menggaru-garu kepalanya.

RAZLAN tersenyum memandang wajah Hazimi yang berkerut seribu.
            “ La Jimi.. tak kan tengok je kot makanan tu. Makanlah,” ujar Razlan lantas duduk di samping teman seperjuangannya itu.
            “ Aku malu la Lan. Dah besar panjang pun bawa bekal. Aku nak makan dekat mana ni?” ujar Hazimi sambil menatang bekas makanan yang diberi mamanya.
            “ Dah tau besar panjang yang kau bawa tu kenapa?” soal Razlan kembali.
            “ Mama aku la. Dia tidur rumah aku semalam. Entah angin apa entah, di suruhnya aku bawak bekal. Miera apa lagi..duk gelakkan aku je la,” ujar Hazimi.
            “ Ha ha ha.. padan muka kau. Siapa suruh jadi anak mak,” ejek Razlan.
            “ Kau ni Lan..bukan nak tolong aku..gelakkan aku ada la,” dengus Hazimi.
            “ Macam ni lah Jimi. Kau makan dekat bilik aku je la. Kan bilik tu khas untuk aku seorang,” ujar Razlan. Hazimi mengangguk setuju. Bilik Muzik memang jarang benar digunakan.
            “ Jimi..bukan ke Miera isteri kau tu bekas pelajar sekolah ni?” soal Razlan sebaik saja dia dan Hazimi selesai makan.
            “ Memanglah. Aku sempat juga ajar dia dalam dua tahun. Aku kan masuk sekolah ni masa umur dia enam belas tahun,” ujar Hazimi. Razlan mengangguk saja.
            “ Oh.. macam tu. Mana la aku tahu. Aku kan baru je dekat sekolah ni,” ujar Razlan.
            “ Eh.. Lan..mana kau tau Miera pernah belajar dekat sini?” soal Hazimi kembali.
            “ Kau nak tau? Ha..tunggu kejap,” ujar Razlan lantas bangun mendapatkan sebuah album di dalam almari.
            “ Aku jumpa gambar dia dalam ni. Wah, hebat isteri kau. Jadi pelajar terbaik sebanyak dua kali berturut-turut. Masa tingkatan tiga dan tingkatan lima,” ujar Razlan memuji sambil menghulurkan album itu kepada Hazimi.
            “ Kau tak bagi tau aku pun aku tau la, isteri aku pernah jadi pelajar terbaik,” balas Hazimi.
            “ Aktif juga si Miera tu. Merupakan Pengakap Raja perempuan yang pertama pulak tu dekat sekolah ni.. herm.. pernah menang banyak pertandingan kawad kaki. Bangga betul aku kalau aku jadi suami dia,” puji Razlan lagi. Hazimi mengangkat wajahnya menatap muka sahabatnya itu.
            “ Kau jangan puji lebih-lebih. Bini aku tu,” ujar Hazimi bernada cemburu.
            “ Aku tau lah. Puji je… tak kan cemburu kut,” usik Razlan lantas ketawa. Akhirnya Hazimi turut ketawa.

RAJA FARIDAH menepuk lembut bahu Amiera yang duduk menghadap kolam buatan itu.
            “ Miera tak kerja ke hari ni?” soal Raja Faridah.
            “ Kerja mama. Tapi sebelah petang. Pagi ni duduk dekat rumah la dulu,” jawab Amiera. Raja Faridah turut melabuhkan duduknya di sisi Amiera.
            “ Papa mana ma? Miera ta nampak pun sejak tadi?” soal Amiera.
            “ Ada dekat belakang tu. Tengah membelek-belek pokok-pokok herba tu. Pokok-pokok tu Miera ke yang tanam?” soal Raja Faridah. Amiera hanya mampu mengangguk. Suasana kembali sunyi. Wajah Raja Faridah yang pada mulanya ceria berubah riak.
            “ Ma.. kenapa mama ni? Macam ada masalah je?” soal Amiera tatkala melihat wajah keruh ibu mentuanya.
            “ Miera..sebenarnya ada sesuatu yang mama rahsiakn dari Miera. Mama nak cakap pun jadi serba salah Miera…mama takut Miera pandang serong pula pada papa nanti,” ujar Raja Faridah.
            “ Cakaplah mama. Insya-Allah..Miera tak kan pandang serong pada papa,” ujar Amiera ikhlas.     
            “ Sebenarnya.. Jimi ada ibu tiri dan ada dua adik,” ujar Raja Faridah. Percakapannya terhenti sebentar. Amiera setia mendengar.
            “ Mama diduakan semasa mama masih mengandungkan Jimi. Setelah lahir Jimi mengalami masa kanak-kanak yang agak teruk. Jimi sering dimarahi papanya tanpa sebab malah Jimi pernah dipukul hanya kerana tersasul memanggil ibu tirinya ibu. Sampailah satu saat, Jimi lebih senang tidur di rumah kawan-kawannya kalau papanya pulang. Beberapa tahun kebelakangan ni, papa dah banyak berubah. Papa nak tebus semua kesalahan dia tapi sampai sekarang Jimi tak boleh lupa apa yang dah berlaku pada dirinya,” jelas Raja Faridah lagi. Amiera masih setia mendengar.
            “ Jadi mama nak minta tolong Miera..pujuk Jimi..berbaiklah dengan papanya,” ujar Raja Faridah. Amiera termenung seketika.
            “ Baiklah mama..Miera akan cuba cakap dengan abang,” ujar Amiera. Raja Faridah tersenyum lega.
            “ Oh ya..lusa mama balik..bolehkan Miera?” pinta Raja Faridah. Amiera hanya mampu mengangguk.

HAZIMI asyik menyanyi mengikut rentak lagu Permaisuri  Hatiku nyanyian kumpulan Hijjaz yang berkumandang di radio. Amiera yang duduk di sebelah Hazimi hanya mendengar.
            “ Nampaknya awak suka lagu ni,” ujar Amiera.
            “ Erm.. mestilah sebab lagu ni banyak memuji akhlak mulia seorang isteri. Isteri yang selalu menyenangkan suaminya,” ujar Hazimi. Amiera merasa disindir.
            “ Maaflah..saya tak boleh jadi isteri yang menyenangkan suami..” ujarnya dalam rajuk.
            “ Eh..saya tak kata awak tak menyenangkan.. awak dah lebih menyenangkan saya. Awak dah banyak buka mata tentang sesuatu yang dulunya saya tak peduli. Kalau awak terasa saya minta maaf. Sebagai tanda minta maaf saya akan nyanyikan lagu ni sentiasa setiap kali awak terasa dengan saya,” ujar Hazimi. Amiera terharu. Sesungguhnya dia sedar cinta lapan tahun dulu masih segar dalam hatinya.
            “ Terima kasih hantarkan saya ke hospital. Tak sangka pulak kereta saya nak meragam,” ujar Amiera.
            “ Tak apa sebab awaklah Permaisuri Hati ini,” ujar Hazimi lantas menciumi kening Amiera. Amiera memejamkan matanya. Dia yakin kini Hazimi sebenarnya juga telah mula mencintai dirinya.
            “ Oh ya saya lupa..mama cakap nak stay beberapa hari lagi dekat rumah kita,” ujar Amiera. Hazimi mengeluh. Alahai mama… bisik Hazimi.

RAJA FARIDAH melihat anak dan menantunya sedang leka mencuci kolam buatan di taman itu. Hazimi memercikkan air melalui paip yang sedang dipegangnya ke arah Amiera.
            “ Abang..janganlah..basah Miera nanti,” rengek Amiera.
            “ Ala manjanya isteri abang ni. Ala sayang oi kena air sikit mana ada basahnya,” ujar Hazimi.
            “ Dah lah. Malas layan abang. Abang cucilah kolam ni sorang-sorang,” rajuk Amiera lantas memanjat dinding kolam yang tinggi separas paha. Dalam rajuk Amiera tidak perasaan akan kakinya terpijak lumut yang licin dan belum dicuci sepenuhnya. Dia tergelincir ke belakang.
            “ Argh!” tempik Amiera nyaring. Hampir saja dia terbaring di lantai kolam mujur tangan Hazimi sempat memaut bahunya. Mereka tergamam seketika.
            “ Ni la balasan isteri derhaka tau,” usik Hazimi.
            “ Abang ni..” ujar Amiera masih dalam pelukan Hazimi.
            “ Apa?” soal Hazimi nakal. Pautannya dikemaskan.
            “ Lepaslah..” ujar Amiera lantas menolak suaminya. Cepat-cepat dia berlari meninggalkan Hazimi.
            “ O..main kasar ya,” ujar Hazimi lantas bangkit mengejar Amiera. Raja Faridah yang memerhati dari jauh tersenyum senang.

No comments:

Post a Comment