Sahabat Saya...

Friday 20 April 2012

Puisi Untuk Dirimu...Imam


LELAKI
-----dulu & sekarang-----

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mendongak megah,
Lelaki kami Asadullah, Saifullah,
Tokoh ramai tak terkira,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya menunduk lemah,
Tokoh kami sedikit sekali,
Ramainya, boneka Yahudi.

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya tenang di hati,
Lelaki kami menjaga, melindungi,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mahu cabut lari,
Lelaki khianat, perogol bersiri.

Dulu,
Bila seorang wanita teraniaya,
Sepasukan kuda putih membela,
Al-Mu’tasim kebanggaan wanita,
Kini,
Ribuan wanita suci dipenjara,
Fatimah diperkosa minta dibela,
Lelaki tunduk tak bertenaga.

Dulu,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki memagari sehabis daya,
Tiada siapa berani menggoda,
Kini,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki tak kisah auratnya terbuka,
Wanitanya dibiar bebas, binasa.

Dulu,
Lelaki menggadai harta dan nyawa,
Untuk mengangkat kemuliaan agama,
Kini,
Lelaki menggadai ketinggian agama,
Demi nafsu, dunia dan seisinya.

Dulu,
Lelaki bermatian mencipta sejarah,
Kental berjihad, tekun berdakwah,
Kini,
Lelaki hanya menyanjungi sejarah,
Diri bermalasan, tenaga tak dikerah.

Dulu,
Lelaki memperjuangkan deen dan ummah,
Al-Farouq, Zunurain mati terbunuh,
Kini,
Lelaki memperjuangkan diri dan kroninya,
Hingga sanggup membunuh.

Dulu,
Lelaki bersatu menghadapi musuh,
Angkatannya kuat dan teguh,
Kini,
Lelakinya berpuak dan berpecah,
Sesama sendiri saling bertelingkah.


Kembalilah lelakiku,
Pada kelelakianmu,
Kami rindukan lelaki dulu,
Acuan Madrasah Rasul.

Srikandi,
Damsyik, Syria

* Dipetik dari novel ‘Syabab Musafir Kasih’
Karya Fatimah Syarha Mohd. Noordin

Harapanku....


Diantara kekasih pilihan di hati
Punyai budi penghias diri
Wajahnya lembut biasan pekerti yang tinggi,
Indahnya perhiasan duniawi

Diantara diriku jua dirimu
Hanya mengharap cinta Yang Satu
Kubinakan mahligai impianmu..
Oh sayang ikhlaskanlah hatimu

Malumu bernilai
Katamu berhikmah
Hatimu tulus suci dan murni
Hanya diri yang halal engkau serahkan segala
Untuk mencari redha Illahi

Benarlah cinta buta melalaikan
Tanpa memikirkan batas syariatnya
Semuanya itu hanya ujian di dunia
Ia adalah mahar untuk  kita ke syurga

Malumu bernilai
Katamu berhikmah
Hatimu tulus dan suci dan murni
Hanya diri yang halal engkau serahkan segala
Untuk mencari redha Illahi

Kau permaisuri di hatiku
Di dunia ini engkau penghibur
Menjunjung kasih amanah Illahi
Ku pasti akan terus menyayangi

Terima kasih ucapan ku beri
Kau hadiahkan ku cahaya hati
Ku pimpin tanganmu oh kasih
Meniti hari semoga kita dapat bersama
Sampai kepada-Nya di syurga sana.

Tuhan kekalkanlah permaisuri hatiku
Untuk menemani dalam menggapai cintaMu

Assalamualaikum...
lagu nasyid kat  atas ni tajuk dia Permaisuri Hati. Baru je saya dengar tadi. Mungkin bagi yang hanya mendengar langsung tak perasan. Tapi sebenarnya, saya dengar lagu ni lepas ada 'seseorang' yang cadangkan pada saya untuk dengar.
Ya Allah, tersentuhnya hati. Betapa bila saya sedar sang suami di dalam lirik mengharapkan,  dia dan isterinya berada dalam keredhaan Allah. Bercinta dan berkasih sayang kerana Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Penyayang. Seorang suami yang mengharapkan kesucian sekeping hati milik seorang isteri.

Subhanallah, saya tiba-tiba je me'reflex' pada diri-sendiri. Ini adalah harapan ikhlas seorang suami pada seorang isteri. Seorang lelaki yang tidak memandang pada rupa semata, tapi pada akhlak yang dimiliki oleh sang wanita. Kecantikan yang di miliki pleh HAWA iti adalah kecantikan cerminan bersih jiwanya. Seorang muslimah yang pemalu, yang menjaga hati hanya untuk yang benar-benar berhak. Yang mencintai agama, Rasul dan Allah melebihi segalanya. Dia menjadi harapan seorang soleh untuk dijadikan isteri.

Wednesday 18 April 2012

Duhai Hati, Wahai Jiwa.... bertenanglah.....

Rabbi..
KAU lah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,
KAU lah yang menciptakan pelbagai perasaan,
KAU menciptakan, cinta, rindu dan kasih sayang,

Rabbi...
Tenangkanlah hatiku....
Aku tidak mahu terbelenggu dengan perasaan dari dalam jiwaku,
Aku takut cinta dan kasih ini melebihi cinta dan kasiku padaMu
Aku takut kerinduan ini melebihi kerinduanku padaMu...

Illahi...
Damaikanlah hati ini...
Aku tidak mahu ingatanku pada dia melebihi ingatanku padaMu,
Aku tidak mahu rasa bahagia ini melebihi rasa bahagia bila ku bersujud padaMu,

Rabbul Izzati,
Kau ciptakan sekeping hati,
Yang diisi dengan nurani,

Rabbul Izzati,
HambaMu ini telah jatuh cinta,
Pada Adam yang tanpa sedar telah mula menetap jauh di sudut hati,
Aku bermohon padaMu,
Yang penuh dengan kasih dan sayang,
Jika cinta itu baik unttukku,
Kekalkanlah ia,
Jika buruk bagiku,
Hapuskanlah dia....

Ya Rahman...
Hanya KAU yang benar-benar tahu akan hati ini.

Sunday 15 April 2012

Zina Ku Bermuladari Facebook

Ya Rabb, Inilah pengakuanku.
Aku berzina, terang-terangan dalam penglihatanMU….

Ya Allah…. Dadaku berdetak.
Tangan dan tubuhku menggeletar.
Menantikan pengadilan di hadapanMU.

Akhirnya malaikat itu datang.
Membawa catatan amalanku di dunia.

Dibukanya layar….
Ditampilkan seluruh aktiviti duniaku.
Apa yang dilihat, sangat membuatkanku menyesal….

Ya Rabb, kenapa mulutku tidak dapat berbicara?
“Aku dulu selalu melihat wajah tampan lelaki bukan muhrim!” Ku dengar mata berbicara lantang.

Lalu terlihat di layar, aku sedang menatap wajah-wajah tampan teman chatting, teman facebook, dan semua teman lelakiku.

Malunya aku, Rabb…
“Aku dulu selalu mendengar kalimat mesra dari seorang lelaki yang haram bagiku!” Kali ini telingaku bicara.

Ya, semasa di dunia aku hanya sibuk bergayut dengan kekasihku. Dia memanggil aku ‘sayang’, aku pun sama…

Rabb… Kenapa semua aktiviti aku penuh maksiat?
Kenapa kegiatanku hanya berkapel?
Kenapa hari-hariku hanya disibukkan dengan nafsu syahwat semata?

Layar itu masih memancarkan kegiatan harianku.
Yang paling sering muncul adalah wajah seorang lelaki, yang sampai sekarang belum pernah aku temui.
Walaupun sehingga ajalku menjemput,
Aku sedang bergayut telefon dengan dia dan bersayang-sayangan dengannya.

Lelaki itu..
wajahnya sungguh menarik hatiku.
Dialah salah satu teman facebook, laman itu yang paling terkenal dan rancak digunakan…

Komunikasi di facebook, berlanjutan ke sms, lalu telefon.
Sekadar mengingatkan untuk sarapan dan makan. Setelah itu, semakin intim hubungan kami.
Tengah malam selalu menjadi waktu paling menyenangkan bagi kami. “Sayang, aku mencintaimu…”

Ya Tuhan.. Sia-siakah hariku?

Tiap detik aku menghabiskan waktuku hanya untuk menghubungi dia.
Tiap minit aku hanya memikirkannya.
Bahkan pada waktu menghadapMU… aku tak mengalunkan ayat-ayatMU, apalah lagi qiamullail..

Rabbi… Malam itu dia menghubungiku. Malam kematianku.
Seperti biasa, dia menanyakan khabarku, bertanya tentang kuliahku, bertanya tentang keluargaku.
Dan hal yang selalu kami lakukan…

Dia memanggilku ‘sayang’ dan akupun demikian….

Aku sungguh menaruh hati padanya. Aku pun mencintai dia, seorang lelaki yang belum pernah aku temui.

Allah… Aku mengaku salah.
Aku berkapel dengannya, walaupun kami tak pernah bertemu.
Aku berzina! Lidahku berzina mengucap sayang padanya tanpa didasari ikatan pernikahan.
Telingaku berzina mendengarkan pujian sayang dan kalimat mesranya padaku. Mataku berzina melihat foto-fotonya. Hatiku berzina kerana selalu merindukannya.

Allah… Aku sudah menghadapMU, dalam su’ul khatimah.

Ku mohon, sedarkan lelaki itu Ya Allah.

Jangan biarkan dia mati dalam keadaan seperti itu. Sedarkan dia ya Rabb…
Facebook, semuanya bermula. Allah, aku berzina. Seberapapun kecil pun, aku sudah berzina.

Mataku, telingaku, lidahku, hatiku…..
Menitis air mata ini. Andai aku dapat kembali ke dunia lagi….

Sumber

Bab 4


Izham
terkedu memandang sepasang merpati yang asyik memilih makanan. Kelihatan mesra tatkala sang suami menolak troli dan isterinya pula memilih dan membanding-bandingkan yang terbaik. Izham memejamkan mata. Cuba membayangi dialah yang berdiri di sisi Amiera. Menolak troli sambil berbual mesra. Tapi dia tahu itu semua tidak mungkin berlaku. Wake up Izham.. Amiera dah bersuami dan kau kena terima hakikat ni walaupun pahit, marahnya sendiri. Air mata kecewa mula menakungi kolam matanya. Dia ingin beredar.
            “ Hei Izham.. apa kau buat di sini?” soal Amiera tiba-tiba. Izham terkejut. Segera tangisannya disembunyikan. Hazimi hanya mengikut langkah isterinya. Oh.. inilah Izham..kacak, masih muda lagi desis Hazimi bernada cemburu.
            “ Assalamualaikum..” ujar Izham. Amiera tersenyum.
            “ Waalaikumussalam.. amboi perli aku nampak,” ujar Amiera.
            “ Mana ada betul lah apa yang aku cakap. Kalau nak tegur sesama Islam kena bagi salam tau,” ujar Izham.
            “ Ye ke? Aku rasa kalau memberi salam ni sunat aja. Lain lah kalau menjawab..wajib..” bidas Amiera.
            “ Oh ya.. ini husband aku. Megat Razif Hazimi dan abang ini kawan satu tempat kerja dengan Miera.. Nik Mohd Izham,” ujar Amiera memperkenalkan mereka.
            “ Hai saya Izham,” ujar Izham lalu tangan dihulur.
            “ Hazimi,” dan salam bersambut Amiera tersenyum lega.
            “ Abang.. Miera nak ke sana kejap..nak cari barang orang perempuan,” pinta Amiera manja dan separuh berbisik. Izham memerhatikan segalanya dengan penuh cemburu
            “ Yalah..jangan lama-lama sangat nanti abang rindu,” jawab Hazimi. Izham terdiam mendengar kata-kata Hazimi. Hatinya makin dipagut cemburu. Amiera pula tersentak mendengar kata-kata suaminya..Ah..lakonan..hatinya berdetik lantas belalu.
            “ Saya tak nampak pun Izham masa hari perkahwinan kami,” ujar Hazimi sengaja membakar perasaan Izham. Dia mengerti pandangan Izham terhadap isterinya dan dia mulai hairan dengan sikapnya sendiri. Mengapa aku cemburukan dia? Soal hatinya sendiri.
            “ Oh..kebetulan hari tu ada pesakit..urgent terpaksalah tak hadir,” dalih Izham padahal hari itu dia juga telah memohon cuti selama dua hari untuk menenangkan hatinya.
            “ Izham..sejak bila awak kenal Amiera?” soal Hazimi ingin tahu.
            “ Oh..sejak di sekolah menengah lagi tapi lepas tingkatan tiga saya pindah. Masa dekat universitilah saya jumpa Miera balik.. Amiera memang seorang yang baik. Kami sentiasa menghabiskan masa bersama-sama,” ujar Izham memancing kemarahan Hazimi.
            “ Dan awak mulai jatuh cinta pada dia..tapi sayang saya pilihannya,” ujar Hazimi tenang. Izham tersentak. Lelaki ini dapat membaca fikirannya.
            “ Hazimi..jagalah Miera baik-baik. Sekarang awaklah tempat pergantungannya. Sayangilah dia,” ujar Izham ikhlas.
            “ Saya tahu kerana dia isteri saya,” balas Hazimi agak keras.
            “ Tetapi awak masih belum mengenali hati budinya. Baiklah saya balik dulu. Ingat pesan saya..seorang isteri sebagai permaisuri di dalam keluarga. Layanilah dia sebaiknya.. Assalamualaikum..” ujar Izham lalu beredar. Hazimi menjawab salam seadanya lantas fikirannya mula berlari jauh.

NATASHA merenung lelaki yang berdiri berhampiran teman lamanya itu. Seperti pernah dikenali. Natasha menghampiri Amiera.
            “ Assalamualaikum Miera,” ucap Natasha. Amiera berpaling. Amiera menjerit keriangan.
            “ Tasha!” ujar Amiera lantas Natasha dirangkul. Lama mereka berpelukan dan Hazimi hanya memerhati.
            “ Apa kau buat dekat sini?” soal Amiera sebaik saja meleraikan.      
            “ Aku datang beli barang sikit. Aku dah nak kahwin dah,” ujar Natasha.
            “ Wah..ye ke..tahniah..Dengan siapa? Norman ya,” ujar Amiera cuba menduga. Natasha menggeleng.
            “ Tak lah.. dengan Najib.. Eh Miera bukan ke lelaki yang berdiri dekat dengan kau ni bekas cikgu kita dulu?” soal Natasha sambil menegakkan ibu jarinya ke arah Hazimi. Amiera mengangguk. Mengiakan kata-kata Natasha.
            “ Assalamualaikum cikgu. Lama tak jumpa. Dah berapa orang anak cikgu?” soal Natasha mengusik.
            “ Saya baru kahwin Tasha..mana la nak ada anak lagi,” jawab Hazimi tenang. Natasha tersenyum. Amiera hanya memerhati.
            “ Mana isteri cikgu?” soal Natasha. Matanya melilau-lilau mencari kelibat seseorang yang boleh dikatakan sebagai isteri bekas gurunya itu. Hazimi dan Amiera berpandangan. Senyuman menghiasi bibir mereka.
            “Oh my God,” ujar Natasha akhirnya.

HAZIMI tercari-cari kelibat anak muridnya itu. Sejak perkahwinannya dengan Amiera, Faezah terus menghilang. Hatinya tertanya-tanya ke mana hilangnya gadis itu.
            “ Ya cikgu..ada apa cikgu panggil kami,” tegur Yusra.
            “ Saya nak tahu..Faezah ke mana?” soal Hazimi.
            “ Kami pun tak tahu cikgu,” jawab Yusra tenang.
            “ Kata orang dia ke Perak. Tinggal dengan abangnya di Manjung,” ujar Azmiah. Yusra menjeling tajam ke arah Azmiah. Jelingan berupa amaran keras.
            “ Manjung?” ujar Hazimi seakan-akan mendesis.
            “ Itu kata orang aja. Kami pun tak tahu. Cikgu kalau tak ada apa-apa kami minta izin pergi dulu. Nanti kalau Ustaz Azman masuk susah pulak kami sebab terlewat,” ujar Yusra lantas berlalu sambil menarik Azmiah pergi bersamanya.

NATASHA duduk dihadapan Amiera sambil menyilangkan kakinya.
            “ Tasha..tak elok la duduk macam tu,” tegur Amiera. Natasha cepat sahaja menjatuhkan kakinya. Dia tahu Amiera pantang benar melihat keadaan duduk seorang perempuan yang kurang sopan.
            “ Wah Miera..akhirnya kau jadi doktor jugak ya,” ujar Natasha. Amiera tersenyum.
            “ Alhamdulillah..dah rezeki,” ujar Amiera.
            “ Kahwin juga akhirnya dengan cikgu ya. Aku ingat lagi dulu, masa kita orang bercakap tentang cikgu kau buat bodoh aja. Kononnya tak berminat, at last kau yang kahwin dengan dia,” ujar Natasha mengusik.
            “ Eh, mana ada aku buat bodoh. Aku buat tak tahu je..” jawab Amiera selamba.
            “ Eee..kau ni kan tak pernah berubah. Asyik nak kenakan aku je,” rungut Natasha.
            “ Ala Tasha, aku kan dah lama tak menyakat kau. Lama tak jumpa kau. Alih-alih kau dah nak kahwin,” ujar Amiera.
            “ Eleh.. yang kau tu alih-alih dah kahwin. Dengan cikgu pulak tu,” ujar Natasha dengan nada mengusik.
            “ Eee..kau ni,” ujar Amiera geram.
            “ Oh ya Miera, macam mana kau pikat cikgu kita tu ha? Setahu aku dia ni susah sikit,” soal Natasha.
            “ Aturan keluarga lah. Aku ikut je..mana la aku tahu yang aku ni nak dinikahkan dengan cikgu kita tu,” jawab Amiera berterus-terang.
            “ Habis..meloponglah si Izham..dia kan dah lama minat kat kau,” usik Natasha.
            “ Eh sudahlah..kau ni tak de kerja lain ke selain nak kenankan aku dengan dia. Dengar dek laki aku mati aku,” ujar Amiera dalam nada gurauan. Mereka akhirnya sama-sama ketawa.

YUSRA melangkah perlahan ke arah  wad yang menempatkan sahabatnya itu. Perasaan gementar menguasai dirinya. Yusra menghampiri Faezah yang sedang duduk membelakanginya.
            “ Zah..ni aku..Yusra. Kau masih ingat lagi tak?” soal Yusra lembut. Faezah kelihatan tersentak. Dia berpaling. Dia terus saja menyikat rambutnya setelah menatap Yusra seketika.
            “ Zah, kau sihat?” soal Yusra ingin memancing perhatian Faezah.
            “ Cikgu..cikgu..saya sayang cikgu. Cikgu sayang saya tak?” ujar Faezah tiba-tiba. Yusra tercengang. Tiba-tiba Faezah mengamuk.
            “ Pergi! Pergi..jangan datang dekat. Kau nak rampas kekasih aku. Pergi!” tempik Faezah keras lantas membaling sikat di tangannya. Yusra kaget. Cepat-cepat dia menekan butang kecemasan. Tidak beberapa lama kemudian tiga orang jururawat bergegas datang. Mereka memegang Faezah erat kemudian lengan Faezah disuntik. Tak semena-mena air mata Yusra jatuh bercucuran di pipinya. Dendamnya tiba-tiba saja menyala.

AMIERA leka memerhatikan Hazimi yang hanyut dengan kerjanya.
            “ Awak, bila nak bawa saya jumpa papa awak?” soal Amiera memecah keheningan malam. Hazimi yang masih termenung mengenang kata-kata Yusra tentang Faezah langsung tidak menyedari pertanyaan isterinya. Amiera bungkam. Apa kena dengan suami aku ni. Dari tadi asyik termenung? Soal hatinya. Amiera memberanikan dirinya menyentuh lelaki itu lembut di bahu.
            “ Awak..” panggilnya. Hazimi tersentak.
            “ Ada apa Miera?” soal Hazimi. Amiera mengerutkan dahinya. La..aku yang tanya dia, dia tanya aku balik..bisik hatinya.
            “ Saya tanya awak bila nak bawa saya jumpa papa? Dah sebulan saya kahwin dengan awak tapi saya tak pernah jumpa papa awak..” ujar Amiera.
            “ Miera..papa dekat Amsterdam sekarang ni..lagi dua minggu dia balik. Nanti saya bawak awak jumpa dia,” balas Hazimi. Kemudian mereka masing-masing membisu. Hazimi mengambil beberapa folio di atas meja. Folio yang baru diserahkan padanya pagi tadi untuk diperiksa. Amiera bangkit.
            “ Awak nak air ke?” soal Amiera.
            “ Boleh  jugak..nescaffe boleh?” ujar Hazimi. Amiera mengangguk. Amiera berlalu ke dapur. Air panas dijerang. Sementara menunggu airnya masak, Amiera mencari botol Nescaffe. Mana pula Nescaffe ni?..soal hatinya. Amiera terus tercari-cari di mana botol  Nescaffe. Tanpa dia sedari tangannya tertolak cerek air yang masih panas lantas cerek itu jatuh ke lantai lalu air panas menyirami kakinya. Amiera menjerit kesakitan.
            “ Miera..” panggil Hazimi. Dia yang sedang leka memeriksa hasil kerja anak muridnya terkejut dengan jeritan Amiera. Langkah segera diatur ke dapur.
            “ Ya Allah.. Miera..,” dan tanpa berfikir panjang Hazimi segera menuju ke arah bilik air lantas mengambil ubat gigi. Amiera menangis kesakitan. Kakinya mulai merah. Hazimi kembali mendapatkan Amiera lantas mencempung isterinya ke dalam pelukannya. Amiera dapat merasakan betapa hatinya begitu berdebar-debar tatkala Hazimi mengangkat dirinya. Amiera di bawa ke ruang tamu.           
            “ Hulur kaki awak tu...saya sapu ubat gigi ni,” ujar Hazimi. Kerana sakit, Amiera hanya menurut. Hazimi menyapu ubat gigi dengan cermat. Risau hatinya melihat kulit kaki Amiera yang mula menggelembung.
            “ Dah lega dah sakitnya?” soal Hazimi
            “ Dah kurang sikit..terima kasih,” ujar Amiera
            “ Saya rasa awak patut ambil cuti,” ujar Hazimi sambil mendongakkan wajahnya. Amiera mengangguk mengiakan kata-kata Hazimi. Jantungnya berdegup pantas tatkala matanya dan mata Hazimi menyatu. Bagaikan ada perasaan asing yang menjalari jiwa mereka saat ini. Hazimi mendekat. Entah kuasa apa yang mendorong dirinya untuk menghampiri isterinya. Tiba-tiba Amiera tersedar.
            “ Maaf..saya naik tidur dulu,” ujar Amiera lantas bangkit dari sofa. Hazimi hanya memandang. Dia juga diamuk resah dengan perasaan.

DIA terkelip-kelip memandang siling biliknya. Amiera melepaskan nafas berat. Kesakitan dikakinya telah berkurangan hasil ubat gigi yang disapu oleh Hazimi. Amiera melayan fikirannya. Dia terfikir akan keanehan sikap Hazimi. Dia masih ingat, suaminya tiba-tiba meradang dan tiba-tiba pula kembali seperti biasa. Hampir setengah jam dia termenung, akhirnya Amiera bangkit dari katilnya. Terasa haus pula tekaknya. Ah, pergi ajelah turun ambik air. Amiera membuka pintu biliknya. Amiera terkejut melihat Hazimi sedng lena tidur di atas sofa di ruang tamu tingkat atas itu. La, kenapa pulak Hazimi tidur sini? Soal hatinya. Amiera cepat-cepat melangkah ke arah suaminya walaupun kakinya masih terasa sakit.
            “ Jimi..” panggil Amiera perlahan sambil menggoyang bahu suaminya lembut. Namun langsung tiada reaksi dari suaminya.
            “ Pa..jangan pa. sakit..Aduh, maafkan Jimi pa..mafkan Jimi. Jimi tak sengaja,” ucap Hazimi tiba-tiba sambil meronta-ronta. Amiera terkejut. Pantas badannya terundur-undur. Amiera memerhatikan suaminya kembali. Hazimi masih seperti tadi. Namun tangisannya mulai kedengaran. Amiera menghampiri Hazimi kembali. Dia memandang air mata yang terbit di sudut mata suaminya. Hazimi terus menangis dalam mimpinya. Amiera pula yang termangu, lantas dia mengambil keputusan untuk mengejutkan suaminya.
            “ Jimi..Jimi..bangun lah,” Amiera menguatkan suaranya. Goyangannya pada bahu Hazimi juga dikeraskan.
            Hazimi membuka matanya. Dia terpisat-pisat seketika. Hazimi memandang wajah Amiera yang sedang berdiri di hadapannya. Jelas sekali padanya wajah itu penuh kerisauan.
            “ Ada apa Miera?” soal Hazimi dengan suara serak-serak basah.
            “ Saya nak kejutkan awak masuk tidur dalam bilik…” jawab Amiera kemudian berlalu.
            “ Awak nak ke mana Miera?” soal Hazimi bila melihat Amiera berjalan menghampiri tangga. Amiera menghentikan langkahnya sambil kembali memandang suaminya.
            “ Saya nak minum. Dahagalah. Awak nak ke?” soal Amiera kembali selepas memberitahu tujuannya.
            “ Tak apalah. Biar saya yang ambilkan ya. Awak tunggu aja dekat atas ni. Kaki awak tu masih sakit lagi,” ujar Hazimi selamba lantas cepat-cepat melangkah turun. Amiera cuma mampu memandang.
            Amiera setia menunggu Hazimi di ruang tamu itu. Sesekali fikirannya menerawang pada peristiwa tadi. Igauan Hazimi benar-benar mengejutkannya. Amiera tersedar apabila mendengar bunyi suara orang berdehem. Hazimi melangkah tenang sambil menatang dulang yang berisi dua mug koko itu. Dia meletakkannya di atas meja di hadapan Amiera.
            “ Minumlah..” pelawa Hazimi pendek. Amiera tetap memandang wajah Hazimi. Air koko yang telah Hazimi bancuh langsung tidak diusik. Hazimi meletakkan mugnya kembali.
            “ Kenapa awak tengok saya macam tu? Ke awak tak minum air koko?” soal Hazimi. Amiera menggeleng. Mulutnya berat untuk meluahkan persoalan yang mengganggu hatinya.
            “ Habis tu kenapa? Kaki awak sakit lagi ke?” soal Hazimi lagi. Amiera masih menggeleng. Hazimi bertambah hairan. Akhirnya Hazimi menjungkitkan bahu sambil membuat reaksi wajah ingin tahu. Amiera menarik nafas sebelum menghembusnya lembut.
            “ Kenapa awak tidur dekat sofa? kenapa tak tidur dalam bilik?” soal Amiera. Hazimi mengukir senyuman manis. Amiera terpana. Terserlah lesung pipit suaminya di pipi kanan.
            “ Saya bimbangkan awak. Ye lah, kaki awak tu sakit lagi. Manalah tahu kalau awak nak apa-apa. Boleh saya tolong ambilkan kalau saya duduk sini,” jawab Hazimi tenang. Amiera pula yang terkedu.
            “ Tak payahlah susah-susah..bukannya sakit sangat pun. Masih boleh berjalan lagi,” jawab Amiera.
            “ Apa yang susahnya Miera. Awak isteri saya, keselamatan awak tanggungjawab saya,” jawab Hazimi tenang. Amiera pula yang terkedu.

AMIERA mencari-cari kelibat Hazimi. Hatinya diamuk resah. Panggilan kecemasan dari hospital baru saja diterimanya. Dalam bilik ke mamat ni? Soal hatinya. Amiera bergerak menuju ke bilik suaminya. Amiera membatukan dirinya di hadapan pintu bilik suaminya. Berfikir seketika sebelum mengambil keputusan untuk memulas tombol pintu lalu melangkah masuk. Amiera bagaikan terpegun melihat suasana bilik suaminya yang cantik tersusun. Tidak seperti kebiasaan bilik orang lelaki, desis hatinya. Amiera mengitari seluruh ruang kamar itu. Tiba-tiba matanya tertancap pada sekeping gambar yang cantik berbingkai. Kelu seketika sebaik saja dia memandang gambar yang terletak elok di atas meja solek di tepi katil suaminya. Amiera melangkah menghampiri gambar itu. Eh.. ini gambar aku masa tingkatan lima dulu..kenapa ada dekat sini. Dahlah dengan baju kurung pulak tu. Kejap ini gambar masa aku menang pertandingan Pidato Piala Di Raja kan..bisik hatinya.
            “ Eh..apa kau buat dalam bilik aku ni?” soal Hazimi tiba-tiba. Nadanya menggambarkan yang dia cukup marah. Amiera terkejut. Hampir saja bingkai gambar di tangannya terlucut.
            “ Ta…tadi..saya ca..ca..ri awak. Saya ingat awak ada dalam bilik,” ujar Amiera sedikit tergagap.
            “ Habis tu..dah kau tak nampak aku dalam bilik yang kau selongkar barang-barang aku tu kenapa?” soal Hazimi marah.
            “ Ma..maaf. saya tak sengaja. Saya minta maaf,” ujar Amiera takut. Wajah Hazimi yang menyinga benar-benar menakutkannya. Timbul perasaan kasihan dalam diri Hazimi sebaik saja melihat wajah Amiera yang pucat ketakutan.
            “ Herm.. lain kali jangan buat lagi. Apa awak nak cari saya?” ujar Hazimi mengubah rentak bicara.
            “ Saya nak ke hospital. Nak minta izin awak la ni,” ujar Amiera.
            “ Kenapa? Kaki awak sakit lagi ke?” soal Hazimi bimbang.
            “ Bukan..ada kes kecemasan. Kakitangan tak cukup. Ada tiga buah kenderaan yang kemalangan dan ada dua orang  ibu yang mengandung. Pihak hospital perlukan saya. Boleh saya pergi?” pinta Amiera.
            “ Pergilah. Drive elok-elok.nanti sekali dengan awak masuk hospital,” ujar Hazimi memberi keizinan. Amiera tersenyum lantas tangan suaminya disalami lalu dikucup syahdu. Sebaik saja Amiera mengangkat wajahnya sebuah ciuman kudus hinggap di dahinya. Amiera terkedu seketika. Alam bagaikan mengerti lantas mengheningkan suasana tetapi tidak lama kerana bunyi deringan telefon Amiera mengubah segalanya. Amiera segera berlalu meninggalkan Hazimi yang diamuk resah.

Bab 3


Amiera
 memandang  wajahnya yang terpantul di cermin. Wajah yang sudah terhias cantik. Hanya mekap nipis yang digunakan. Itu pintanya.
            “Adik ni cantik. Tak susah akak nak solekkan. Muka adik ni kalau tak disolekkan pun memang cantik,” ujar Azwani.
            “ Ala kak… Alang-alang hari nikah saya apa salahnya bersolek sikit,” usik Amiera.
            “ Akak tahu lah. Akak memang pantang kalau ada orang lebih cantik dari akak tapi dengan adik memang akak kalah,” usik Azwani lagi.
            “ Ala kak, kalau akak tak cantik tak adanya Tengku Farhan abang adik tu boleh berkenan dengan akak,” balas Amiera. Azwani hanya tersenyum. Suasana di luar bilik pengantin mulai riuh. Amiera merasakan degupan jantungnya mulai laju.
            “ Pengantin lelaki dah sampai. Kejap lagi akad nikah. Be prepare,” bisik Azwani. Amiera hanya mengangguk. Dengan sekali lafaz Tengku Shaziera Amiera sah menjadi milik Megat Razif Hazimi. Amiera menadah tangan. Segala puji dipanjatkan kepada Illahi. Entah mengapa air matanya berguguran.
            “ Eh adik.. jangan nangis,” ujar Azwani. Hazimi diarak masuk tetapi dihalang oleh Azwani.  Adat dahulu masih lagi dikekalkan.
            “ Anak rusa masuk ke taman, hajat di hati ingin memakan bunga-bungaan, memang si dara haknya tuan, di bayar dahulu baru diizikan,” ujar Azwani berpantun. Tengku Farhan menggaru-garu kepalanya. Berfikir untuk memberi jawapan.
            “ Anak cerpelai bermain di kali, hampir hanyut ke hulu sungai, berapa pinta harga diingini? Cepatlah semoga segala hajat tertunai,” jawab Tengku Farhan menanyakan soal bayaran.
            “ Anak keling mengayuh perahu, bawa sekali si pisang merah, jangan buat-buat tak tahu, bayarannya seperti yang ingin diserah,” ujar Azwani pula. Bilik pengantin bertambah gamat dengan tepukan jemputan yang hadir. Tengku Farhan terdiam seketika sambil meraba-raba saku baju melayunya.
            “ Makan bunga seri pagi, terasa gatal seluruh badan, bayaran kini sudah diberi, sekarang ingin dapat keizinan,” balas Tengku Farhan sambil menghulurkan sampul berisi  lima keping not lima puluh. Azwani menghitung. Dia tersenyum.
            “ Berkayuh pulang ke Pulau Andaman, bawa bersama si tuan puteri, terlunaslah sudah segala bayaran, tuan di izin berjumpa bidadari,” ujar Azwani. Laluan diberikan. Hazimi mengambil cincin bertatah zamrud yang dihulurkan lantas disarung di jari manis Amiera. Amiera menyalami suaminya. Satu ciuman singgah di dahinya. Terasa hangat. Hazimi kelihatan mesra melayani isterinya namun hanya mereka berdua yang tahu apa yang sebenarnya yang terjadi diantara mereka.
            “ Eh..Jimi tak kan pegang bahu je kot..peluk la pinggang si Miera tu. Hari ni kan hari bahagia kau,” ujar Tengku Helmi. Muka Amiera bersemu merah.
            “ Betul tu..kot ye pun segan..biarlah nampak mesra sikit,” sahut suara yang lain pula. Hazimi akur akhirnya. Dia memeluk pinggang Amiera. Amiera merasakan debaran yang amat kencang. Dia tidak pernah dipeluk begini oleh lelaki lain. Amiera menahan getaran jiwanya.



AMIERA mengemaskan barang-barang hantaran miliknya. Hadiah-hadiah yang diterimanya pula telah dibuka dan disimpan. Ternyata pilihan hatinya tepat. Namun dia sedar untuk mendapatkan kebahagiaan dari Hazimi sukar. Dia mengerti. Suaminya kini sedang berada di ruang tamu rumahnya. Sedang bermesra dengan ahli keluarganya. Riuh-rendah suara anak-anak saudaranya menandakan mereka masih belum penat berrmain. Apa tidaknya sesekali berkumpul begini, seronok juga. Amiera bangkit lantas keluar dari kamar peraduannya.

HAZIMI sedikit gelisah. Terasa seperti ingin disoal-siasat saja lagaknya bila dikelilingi oleh abang-abang Amiera.
“ Hazimi kerja apa?” soal Tengku Halim abang sulung Amiera.
            “ Saya cikgu sekolah menengah saja Along,” jawab Hazimi sopan.
            “ Kenapa tak kerja dengan papa Hazimi?” soal Tengku Azlan abang Amiera yang tengah.
            “ Saja je Angah. Nak cari duit sendiri. Lagipun kalau saya tak jadi cikgu tak bertemulah saya dengan Miera,” jawab Hazimi pula.
            “ Kenapa pula macam tu?” soal Tengku Farhan, sambil mendukung anaknya.
            “ Miera sebenarnya bekas anak murid saya. Masa tu baru setahun saya mula mengajar, sempat la jugak saya ajar Miera tu dua tahun,” ujar Hazimi.
            “ O..ada cerita la kiranya,” celah Tengku Halim. Hazimi bermain-main dengan anak saudara Amiera. Gelagatnya diperhatikan oleh abang-abang iparnya
            “ Along, Angah, Achik saya minta izin nak ke bilik,” pinta Hazimi.
            “ Pergilah. Kamu pun pengantin baru. Malam ni malam pertama pula tu. Yalah. Kami faham. Jangan buat Miera tertunggu-tunggu,” usik Tengku Halim. Amiera yang mencuri dengar perbualan mereka mula merasakan kehangatan singgah di pipinya. Malu benar rasanya mendengar usikan begitu tetapi dia sedar antara dia dengan Hazimi malam ini tidak akan terjadi apa-apa. Amiera melangkah pantas ke biliknya sebaik saja melihat Hazimi yang mulai menapak ke arah bilik pengantin.

HAZIMI menolak pintu biliknya. Dikerlingnya Amiera sekilas. Amiera perasan jelingan Hazimi namun dia tetap mendiamkan diri. Dia terus menyisir-nyisir rambutnya. Hazimi mengambil bantal dan bantal peluk lantas diletakkan di atas permaidani. Amiera tetap mendiamkan diri. Hazimi merebahkan dirinya sambil matanya memandang siling. Pandangannya diubah pula ke arah ke arah Amiera. Amiera perasan pandangan suaminya namun dia tetap berpura-pura tidak tahu. Dia masih juga selamba. Hazimi merenung Amiera. Apa kurangnya dia? Soal hatinya. Dengan kulit putih melepak. Rambut panjang berketak-ketak dan wajah nan ayu. Pandangan Hazimi beralih pula ke arah leher Amiera yang jinjang. Dia menelan liurnya sendiri tatkala hatinya mula bergelora. Hazimi memejamkan matanya. Tidak mahu nafsu lelakinya meruntuhkan tembok keegoannya.
           
AMIERA meletakkan night cream yang sedang dipakainya. Hatinya benar-benar tersentuh dengan tindakan Hazimi. Amiera bangun perlahan-lahan dari kerusi. Dipandanginya Hazimi yang diyakini sedang tidur. Amiera menghampiri almari pakaian lantas mengambil gebar buat suaminya. Dia tahu sangat dengan suhu biliknya menjelang tengah malam. Dia tidak mahu Hazimi kedinginan. Amiera menyelimuti Hazimi. Hazimi tersentak. Dia belum terlena sebenarnya. Dibuka matanya sedikit lantas memfokus pandangannya ke arah Amiera. Amiera mencapai tangan Hazimi lantas disalaminya. Setitik air matanya gugur. Hazimi termangu. Sedihkah Amiera? Soal hatinya. Amiera meletakkan tangan Hazimi perlahan-lahan. Amiera bangun lantas mengucup dahi suaminya lalu menaiki katilnya sambil mengesat matanya. Hazimi tersentuh lagi namun egonya masih tinggi.
           
AMIERA melayani perasaan sedihnya. Salahkah aku mengahwaninya? Terlalu hinakah diriku sehingga aku dia abaikan. Jijikkah dia dengan diriku atau dia sebenarnya telah punya kekasih hati dan aku menghalangnya? Ini bukan malam pertama yang aku impikan. Bukan begini! Jeritannya hanya bergema di dalam hati. Tak terluah keluar dari bibirnya. Makin difikirkan makin sedih hatinya. Amiera menahan sebak yang menongkol di dada.

AMIERA tersedar dari lenanya. Nyenyaknya malam tadi bertemankan air mata. Ah, betapa sukarnya untuk mentafsir perasaan. Dia mengerling ke arah jam di dinding. 6.15 pagi. Dia menggeliat sedikit. Matanya melilau mencari kelibat Hazimi namun tiada. Amiera menjuntaikan kakinya. Matanya memandang bilik pengantinnya yang terhias indah. Fikirannya di awang-awangan. Benarkah aku sudah bersuami. Jika benar mengapa aku tidak merasakan kebahagiaannya? Soal hatinya. Dalam melayan angannya, pintu bilik air terkuak. Amiera terkejut. Lamunanya terhenti.
            “ Kenapa awak tak kejutkan saya?” soal Amiera. Hazimi hanya memandang Amiera sepintas lalu. Tuala di bahunya disangkut di tempat penyidai.
            “ Manalah saya tahu yang awak ni tak uzur. Dah lah, saya nak solat,” jawab Hazimi lantas membentangkan sejadah.
            “ Awak dah lupa ke apa yang kita janjikan dulu? Saya nak solat jemaah dengan awak,” pintas Amiera pantas.
            “ Hem..cepat sikit,” jawab Hazimi akhirnya.

AMIERA mengaminkan bacaan doa yang dibacakan suaminya. Amiera menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Hazimi. Huluran bersambut namun baru saja dia mahu mengucup tangan suaminya, Hazimi mengelak pantas. Tangannya dilarikan. Amiera terkedu. Sebak mulai menghimpit hatinya.
            “ Hazimi kenapa awak buat saya macam ni? Apa salah saya?” soal Amiera pilu. Hazimi hanya mendiamkan diri. Malas menjawab soalan Amiera. Amiera menarik jubah sembahyangnya.
            “ Tak bolehkan awak menerima saya sebagai isteri awak? Bukan saja dari segi luaran, tapi jugak dari segi dalaman?” pinta Amiera mengharap.
            “ Kau ni kenapa? Pagi-pagi dah memekak. Bising tahu tak. Hei, dengar sini Tengku Amiera Shaziera..aku kawin dengan kau sebab ikut kemahuan mama aku. Bukan sebab aku cintakan kau. Ingat..dalam hati aku, kau tak akan ada ruang untuk mendudukinya,” ujar Hazimi lantas berlalu keluar meninggalkan Amiera. Ya Allah, beratnya ujian yang kau timpakan padaku. Berikanlah aku kekuatan. Doanya di dalam hati.

AMIERA menapak menuruni anak tangga perlahan-lahan. Dia bagaikan terpaku seketika apabila melihat batang tubuh Hazimi yang terbaring di atas sofa di ruang tamu. Sekali lagi, air mata pilunya menitis. Begitu sekali dia bencikan aku sampai sanggup tidur dekat luar sebab tak nak sebilik dengan aku. Sampai hati awak buat saya macam ni Hazimi. Tangis Amiera dalam diam. Amiera menghampiri Hazimi. Tubuh suaminya digoncang perlahan.
            “ Hazimi, bangunlah. Naik tidur kat atas,” ujar Amiera perlahan.
            “ Insyirah..maafkan saya,” ujar Hazimi tiba-tiba. Amiera tersentak. Insyirah? Siapa dia? Hati hawanya diusik cemburu namun cepat saja perasaan itu ditepis.
            “ Hazimi..bangunlah,” ujar Amiera sedikit keras. Hazimi tersedar namun masih dalam keadaan mamai.
            “ Kalau awak mengantuk sangat, pergi naik tidur dalam bilik,” arah Amiera. Hazimi hanya menurut. Memang matanya masih mengantuk dan masih sukar untuk dibuka.
            Amiera melangkah ke dapur sebaik saja kelibat Hazimi menghilang. Amiera menghampiri Ummi Zaharah yang sedang sibuk menyediakan sarapan.
            “ Assalamualaikum umi,” sapa Amiera lantas merapati uminya.
            “ Waalaikumussalam Miera…Jimi mana?” soal Ummi Zaharah.
            “ Ada dekat bilik. Tidur. Penat sangat agaknya umi,” jawab Amiera perlahan.
            “ Hai, baru satu hari dah penat,” usik Ummi Zaharah bersahaja sambil tangannya lincah menyusun pulut dakap di dalam piring. Amiera yang sedang mengacau air kopi tersentak.
            “ Umi ni!” jerit Amiera kecil. Malu diusik begitu walhal semalam tiada apa pun yang terjadi di antara dia dengan Hazimi.
            “ Miera, duduk sini kejap,” pinta Ummi Zaharah. Amiera yang baru menyusun cawan di dalam dulang kembali mengahampiri uminya.
            “ Sekarang, Miera kena ingat yang Miera dah jadi isteri orang. Kalau dulu apa-apa yang Miera buat Miera kena bagitahu umi dengan walid tapi sekarang, Miera kena minta izin dari suami Miera. Ingat, walau di mana Miera berada, suami Miera yang perlu diutamakan. Taati suami kerana itulah jalan yang akan membawa Miera dekat dengan Tuhan,” pesan Ummi Zaharah panjang lebar.
            “ Insya-Allah umi,” jawab Amiera. Di sebalik dinding, Hazimi sedang menahan perasaannya mendengar perbualan antara Amiera dan Ummi Zaharah.

SUASANA di meja makan riuh-rendah dengan suara-suara kecil yang merengek kelaparan.
            “ Adha, sabar lah kejap. Umi tengah sendukkan mihun kan tu,” pujuk Tengku Halim sebaik saja mendengar anaknya merengek meminta makanan. Adura hanya memandang gelagat adiknya.
            “ Entahlah adik ni. Tengok akak, sabar. Rezeki kalau tamak-tamak nanti tak dapat langsung,” ujar Adura yang berusia tujuh tahun itu menasihatkan adiknya yang berusia empat tahun. Meja makan dipenuhi gelak ketawa mendengar kata-kata dari mulut mungil anak cilik itu.
            “ Amboi…pandai Dura cakap…” usik Amiera.
            “ Mestilah..kan cik su yang ajar dulu kan..” jawab Adura petah.
            “ Tapi Dura, cik su pun ajar..depan rezeki tak baik bercakap. Nanti rezeki lari. Jadi, baik Dura diam. Nanti Tok Ayah, nenek, ayah long, mak long, ayah ngah, mak ngah dan semua orang tak boleh makan sebab makanan lari,” sela Aiman pula. Satu-satunya anak lelaki Tengku Azlan. Adura memasamkan mukanya mendengar kata-kata Aiman.
`           “ Betul tu. Diana sokong Abang Aiman. Kak Dura banyak cakap lah,” celah Diana, anak sulung Tengku Farhan dan Azwani. gamat lagi meja makan itu jadinya. Hazimi tersenyum dengan telatah anak-anak saudara Amiera yang melucukan. Sesungguhnya, baru kali ini dia merasakan suasana keluarga yang benar-benar bahagia. Hatinya dicuit duka tiba-tiba.




UMMI ZAHARAH memeluk anaknya. Amiera membalas pelukan uminya.
            “ Umi, bukannya Miera tak boleh jumpa dengan umi lagi. Miera cuma berpindah duduk rumah suami Miera. Umi janganlah sedih begini,” pujuk Amiera. Ummi Zaharah mengukir seulas senyuman. Anaknya kini milik orang.
            “ Yalah. Ingat pesan umi, layan suami baik-baik. Sentiasa bawa berbincang. Miera kena ingat, Miera nak buat apa pun sekarang ni, Miera kena minta izin dulu. Faham Miera?” pesan uminya. Amiera mengangguk. Walidnya pula di salami. Hazimi turut menyalami Ummi Zaharah dan Tengku Azhar.
            “ Walid minta maaf pada Jimi jika ada kurang pada Amiera. Kalau ada kurangnya maafkanlah, silap kamilah tidak mengajarnya dengan betul. Ada apa masalah bawak berbincang. Jangan buat keputusan melulu. Ingat sabda Rasulullah, manusia Hawa diciptakan dari rusuk kanan manusia Adam, bukan dari kepala untuk menjadi atasnya..bukan dari kaki untuk menjadi alasnya melainkan dari sisinya untuk dijadikan teman hidupnya, dekat dengannya untuk dilindunginya dan dekat dihatinya untuk dicintainya,” pesan Tengku Azhar lantas mengusap kepala Hazimi. Hazimi tersentak. Belaian yang seringkali didambakan dari papanya. Pertama kali dia merasakan dirinya mendapat penghargaan dari seorang ayah. Bukan dari papanya melainkan walidnya.
            “ Ya walid..saya akan jaga Miera baik-baik,” ucap Hazimi kemudiannya

SUASANA di dalam kereta bungkam. Hazimi dan Amiera sama-sama membisu. Suasana sunyi yang entah mengapa melenakan Amiera. Hazimi menghentikan pemanduannya. Di pandanginya Amiera yang lena padahal perjalanan dari rumah mentuanya ke rumah mereka hanya dua puluh minit.
            “ Miera, bangun..kita dah sampai,”  ujar Hazimi sambil menggoncang bahu Amiera.
            “ Izham..” terpacul nama itu dari bibir Amiera. Hazimi terkedu. Entah mengapa perasaan cemburu mendatanginya.
            “ Miera..bangun.. kita dah sampai,” ujar Hazimi lagi. Amiera membuka matanya.
            “ Kita dah sampai ke awak?”soal Amiera. Hazimi mengangguk lantas keluar dari kereta. Bonet kereta di buka dan barang-barangnya diambil. Amiera mendapatkan suaminya. Dia membawa sebahagian barang-barangnya masuk ke rumah. Amiera terpegun seketika melihat rumah banglo itu. Cantik..desis hatinya. Sebaik saja melangkah masuk, Amiera mengitari ruang tamu rumah tersebut.
            “Miera, macam yang saya cakapkan.. awak tidur di bilik utama dan saya tidur di bilik tetamu. Faham..” ujar Hazimi kasar. Dahi Amiera berkerut. Nada suara Hazimi jelas menunjukkan dia marah.
            “ Saya tahulah tapi janganlah nak marah-marah macam ni. Dekat mana bilik utama?” soal Amiera.
            “ Dekat sana,” ujar Hazimi lantas menunujukkan arah bilik utama. Amiera mengambil barang-barangnya lantas menuju ke arah biliknya.
Amiera memulas tombol biliknya.
            “ Wah..cantiknya bilik ni,” ujar Amiera seraya menuju ke balkoni rumah. Pemandangan yang lebih menakjubkan disaksikannya. Biliknya betul-betul menghadap ke arah kawasan perbukitan yang menghijau. Dihalakan pula pandangannya kearah taman mini. Jelas kedengaran air mengalir dari air terjun buatan. Terasa damai seketika. Tanpa dia sedari Hazimi menghampiri.
            “ Macam mana? Awak suka tak bilik ni?” soal Hazimi lembut.
            “ Suka..awak tak menyesal ke berikan saya bilik ni?” soal Amiera kembali. Hairan juga dirinya tatkala mendengar suara suaminya yang bernada lembut. Tadi kasar..pelik la laki aku ni..desis hatinya sendiri.
            “ Kalau awak suka tak ada apa yang saya nak sesalkan,” jawab Hazimi. Suasana kembali sunyi.
            “ Miera.. kalau saya tanya awak sesuatu boleh tak?” soal Hazimi meminta keizinan.
            “ Tanyalah.. saya akan menjawabnya,” ujar Amiera tulus. Hazimi terdiam seketika. Dia tidak tahu hendak bertanya bagaimana.
            “ Hazimi? Kenapa senyap je ni?” soal Amiera.
            “ Tak ada apa lah. Awak rehatlah. Nanti saya bawak awak keluar makan. Dekat dapur tu tak ada apa yang boleh di makan,” ujar Hazimi.
            “ Erm.. Hazimi, nanti awak bawa saya ke pasaraya..beli barang-barang untuk masak,” ujar Amiera.
            “Tak payahlah. Kita makan dekat luar aja,” jawab Hazimi.
            “ Kalau ya pun tak kan hari-hari nak makan dekat luar? Kena lah juga makan dekat rumah. Lagipun minggu ni saya tak kerja,” ujar Amiera. Hazimi akhirnya bersetuju.
            “ Amiera awak pandai masak ke?” soal Hazimi. Amiera mengerutkan wajahnya.
            “ Kenapa awak tak percaya ke saya boleh masak?” soal Amiera kembali.
            “Just wait and see,” ujar Hazimi sambil menjungkitkan bahunya, Amiera tertawa. Ayat yang pernah dilemparkan pada suaminya satu ketika dahulu. Hazimi terkedu mendengar tawa Amiera yang galak . Pertama kali dia mendengar alunan tawa Amiera. Terasa tenang dan damai hatinya dengan alunan tawa itu