Sahabat Saya...

Friday 15 June 2012

MEMORI SEMALAM...


Aku
                tetap mendiamkan diri. Wajah Asyiqin yang merenungku langsung tidak kupedulikan. Aku faham kata hatinya. Aku faham panahan matanya. Semuanya mengandung duka. Memohon sedikit simpati dariku.
“ Lin, aku tahu Yusra dah banyak sakitkan hati kau Lin. Tapi..tak bolehkah kau maafkan dia?” soal Asyiqin sayu. Aku menggeleng lemah. Haikal dipangkuanku, ku belai.
“ Bukan semudah itu aku bisa melepaskan kecil hatiku Qin.. sakit sekali rasanya tika itu,” jawabku perlahan.
“ Lin, dah sepuluh tahun peristiwa tu Lin. Tak kan sedikit pun pintu maafmu tidak terbuka buatnya? Kasihanilah dia Lin. Yusra sedang nazak,” pujuknya lagi. Entah mengapa rasa hibaku memuncak. Serentak dengan itu mengalirlah mutiara jernih di pipiku.
“ Qin, yang kau tahu apa yang dia lakukan padaku, pada umiku cuma sedikit… masih banyak lagi yang mengguris hatiku,” jawabku hiba. Asyiqin menundukkan wajahnya. Aku mengenang masa silam.

                Yusra memegang erat tanganku. Erat pegangannya. Aku jua begitu kerana sebentar saja lagi keputusan PMR kami akan diumumkan.
“ Yus, aku takutlah,” ujarku padanya. Ku lihat dua lagi teman baikku turut gelisah.
“ Tenang Lin. Result kita mesti cantik punya. Kita kan dah berusaha,” pujukan Yusra sedikit sebanyak menenangkan aku. Aku melihat Pn. Maznah melangkah masuk ke dalam Bilik Wawasan. Aku melihat tangannya memegang sesuatu. Semakin kencang debaran di dadaku. Tiba waktu dan ketikanya nama kami dipanggil.
“ Yusra Izzati, Nor Fazlina, Nurul Azmiah, Nor Asyiqin,” dan serentak kami berempat melangkah ke dalam Bilik Wawasan. Aku menatap slip keputusanku sambil membilang berapa A yang kucapai. Air mataku bergenang. Rasa hibaku tiba-tiba datang.
“ Amacam, kau dapat berapa?” soal Yusra bernada gembira.
“ Aku dapat tujuh je, kau?” soalku menahan sebak.
“ Aku dapat sembilan Lin,” jawabnya gembira lantas tubuhku dirangkul. Aku membalas rangkulannya. Kami melepaskan tangisan yang berbeda. Aku menangis kerana keputusanku tidak secemerlang yang aku harapkan manakala Yusra menangis kerana dia mencapai targetnya.
“ Lepas ni kau kenalah belanja aku,” usikku dalam sendu.
“ Aku tak kisah. Aku gembira sangat..jom balik,” ujarnya lantas mendapatkan basikalnya. Aku mengikutnya dari belakang.
Umi menciumi dahiku. Aku hanya mendiamkan diri. Slip keputusanku masih ada ditangannya.
“ Umi bangga dengan anak umi. Walaupun kita hidup susah dan serba kekurangan, Lin dapat juga capai tujuh A. Umi bangga nak,” kata-kata umi benar-benar mencarik hatiku.
“ Maafkan Lin umi, ini aja yang Lin dapat berikan pada umi,” ujarku dalam tangisan.
“ Tak apa sayang..ini semua rezeki. Kan anak umi dah berusaha,” pujuk umi lembut.
“ Kalau walid masih ada pasti walid bangga dengan Lin,” ujar umi lagi dan aku terus saja menghamburkan tangisan.

                Aku kembali ke alam nyata sebaik saja anakku Haikal merengek. Asyiqin masih lagi di situ. Menanti jawapanku.
“ Kau balik la Qin. Khabarkan pada Yusra, hatiku masih terluka,” ujarku lantas bangun meniggalkan Restoran Wieda yang mulai dipenuhi manusia.
“ Lin, aku tak akan berputus asa untuk memujukmu Lin,” laung Asyiqin dari kejauhan namun aku tetap melangkah dan sedikitpun aku tidak berpaling padanya.
               
                Haritz suamiku yang menunggu di dalam kereta hairan melihat wajah muramku.
“ Lin, kenapa ni?” soalnya lembut. Aku menggeleng lemah.
“ Abang singgah dekat Jaya Jusco kejap..barang-barang Haikal dah habis la,” pintaku melembutkan nada suara. Haritz hanya menurut. Aku keluar dari kereta lantas mendapatkan anakku yang sedang lena.
“ Abang, dukung Haikal ni..Lin nak ambil raga dalam bonet kejap,” ujarku. Tanpa banyak bicara Haritz mengendong anak kami. Aku memilih barang-barang yang perlu lantas menuju ke kaunter. Anakku, ku biarkan bersama suamiku. Kasihan juga melihat rupa Haritz yang agak kurang selesa. Apa taknya tangan kanannya mendukung Haikal manakala tangan kirinya menjinjit barang-barang yang aku beli. Aku menahan tawa melihat keadaan suamiku itu. Langsung tak terniat di hatiku untuk membantunya.  Biarkan saja mereka. Selesai membeli-belah kami singgah di Restoran Sri Melayu. Di waktu itu Haikal terjaga.
“ Amboi, lenanya anak mama tidur ya,” usikku. Haikal tersenyum nakal lantas turun dari dukungan papanya lalu menghampiriku.
“ Mama, nak dukung,” ujarnya pelat.
“ Mama penatlah sayang..” ujarku mengusiknya.
“ Haikal, mari dengan papa, kesian mama,” ujar Haritz memujuk.
“ Tak nak..papa jahat,” ujarnya marah. Aku menjadi hairan. Kenapa tiba-tiba Haikal mengamuk?
“ Kenapa Haikal cakap papa macam tu? Tak baik sayang,” ujarku memujuk.
“ Papa jahat cebab celalu tak ada kat umah,” rajuknya. Aku dan Haritz ketawa.
“ Papa minta maaf ya, hari ni papa dekat rumah Haikal pulak merajuk,” ujar Haritz. Haikal memandangku. Mungkin masih ragu-ragu. Aku mengangguk. Akhirnya anakku yang berusia tiga tahun itu kembali ke dalam dukungan papanya.
“ Lin nak makan apa?” soal Haritz mesra sambil tangannya memegang tanganku. Haikal mulai cemburu. Cepat-cepat tanganku ditarik dari pegangan papanya.
“ Papa jangan centuh mama. Eqal tak cuka,” ujarnya. Aku ketawa. Wajah Haritz berubah kelat. Aku tahu dia sebenarnya hanya ingin menimbulkan suasana romantik tapi apakan daya anak kami mencemburuinya.
“ Lin nak pesan bubur ayam saja dengan jus oren,” ujarku sebaik saja tawaku reda. Haritz membuat pesanan. Dia juga memesan menu yang sama. Aku menyuapkan Haikal hingga anak itu tersandar kekenyangan dan kembali lena.
“ Lin, dari tadi lagi abang tengok Lin tak macam selalu. Kenapa sayang? Ceritakanlah pada abang,” ujarnya lembut memujuk. Entah mengapa kata-katanya menghibakan aku.
“ Tak ada apa-apa bang, cuma teringat cerita lama. Cerita duka yang menyakitkan,” ujarku sayu. Haritz menggenggam tanganku. Memintaku untuk berterus terang. Aku kembali sebak.

                Yusra memandangku. Surat tawaran di tangannya lantas diunjukkan padaku.
“ Tahniah Yus, tercapai juga impian kau nak ke MARA,” ujarku bersama senyuman namun wajah Yusra tetap mendung.
“ Aku tak nak pergi kalau kau tak ada Lin, nanti aku sunyi tak ada kawan,” ujarnya. Aku mengukir sebuah senyuman yang paling manis buatnya.
“ Erm, aku pun dapat surat tawaran jugak, tapi kau tahu kan keadaan aku tak mengizinkan aku untuk pergi,” ujarku. Yusra mengeluh.
“ Pergilah Lin, aku tanggung,” ujar Yusra. Aku menggeleng perlahan.
“ Tak mungkin Yus..dah banyak kau tolong aku. Malahan rumah yang aku duduk tu pun kau yang bagi kan,” ujarku perlahan. Yusra memegang tanganku. Digengamnya erat.
“ Itu gunanya kawan. Marilah Lin,” pujukkannya menghibakan aku. Serta-merta aku teringat akan kesihatan umi yang mulai terganggu.
“ Tak boleh Yus, macam mana aku nak tinggalkanm umiku Yus,”
“ Macam ni, umi kau aku mintak mama dan papa aku yang jaga,” usulnya. Aku merenungnya. Rasa tidak percaya dengan kata-katanya namun aku tetap menggeleng. Biarlah aku sudah tidak mahu menyusahkan dia lagi. Yusra mengeluh lagi.

               
Haritz memandangku. Nampaknya ada sesuatu yang dia ingin bincangkan denganku. Haikal kubiarkan tidur di dalam bilik sementelah aku ingin memasak.
“ Lin, tadi kawan Lin datang jumpa abang,” ujarnya perlahan. Aku sedikit tersentak. Pisau yang berada di genggamanku hampir saja terlucut. Namun aku masih terus berlagak tenang.
“ Dia mahu abang pujuk Lin supaya jumpa dengan kawan Lin, Yusra,” ujarnya lagi. Aku mengalihkan pandanganku padanya.
“ Abang..Lin tahu yang Syiqin akan datang jumpa abang..tapi bang walau sekuat manapun abang pujuk Lin, Lin tak akan pergi jumpa dengan Yusra. Terlalu dalam luka yang dia torehkan di hati Lin bang,” ujarku lantas berlalu.
“ Lin, Lin kan orang yang lembut, pemaaf, maafkanlah Yusra. Dia hanya seorang manusia yang tak akan lari dari membuat kesilapan Lin,” pujuk Haritz lembut.
“ Kalau abang jadi Lin, mampukah abang maafkan seseorang yang telah memalukan kita di hadapan ramai, mampukah abang memaafkan seseorang yang menghina ibu abang, “ ujarku beremosi.
“ Lin…”
“ Ah..abang tak faham sebab abang tak melaluinya!” tempikku lantas masuk ke kamar. Pintu bilik ku banting kuat. Sakit hatiku pada Yusra semakin bertambah.

                Aku menggosok mataku berulang kali. Benarkah itu Yusra. Yusra sahabatku. Aku masuk ke dalam Crystall Caffe lantas berlari ke arahnya. Rinduku melimpah-ruah padanya.
“ Yus,” jeritku kuat. Yusra berpaling namun wajahnya langsung tidak menggambarkan kegembiraan. Tidak lama kemudian aku sudahpun merangkulnya.
“ Eh, apa ni? Saya bukan Yus la..saya Zatty,” ujarnya lantas menolakku menjauh. Aku terkejut.
“ Yus, ini aku Lin..kawan kau,” ujarku menahan sebak.
“ Zatty, kau kenal ke budak macam pelarian ni?” soal salah seorang temannya yang duduk semeja dengan Yusra.
“ Apa la kau ni Zatty, dengan orang miskin pun kau nak berkawan ke?” ejek teman-temannya lagi lantas ketawa. Wajah Yusra ku lihat bersemu merah. Direnungnya wajahku lantas..
“ Ala biasalah orang miskin..nak makan percuma datang la mengaku kenal aku. Cik, kalau lapar sangat ni ada sisa kami makanlah puas-puas. Jom girls aku dah tak ada selera la nak makan,” ujar Yusra sambil berlalu.
“  Dan satu lagi, janganlah nak mengaku orang kaya macam aku ni kawan kau, dasar pengemis,” laungnya sebelum meneruskan langkah kakinya.
“ Aku bukan pengemis!” laungku pada Yusra. Dia berpaling dan tersenyum sinis. Aku terduduk di lantai. Hiba hatiku mendengar kata-kata Yusra. Tidak aku pedulikan mata-mata yang memandangku sinis. Air mataku terus saja berjuraian.
                Petang itu aku duduk di atas pangkin di bawah pohon jambu air. Tempat aku dan Yusra selalu mentelaah. Hatiku bertambah pilu mengenangkan masa silam. Sekali lagi air mataku menitis. Tiba-tiba deruman enjin kereta mematikan lamunanku. Ku lihat Yusra dan mamanya Auntie Aimi. Mereka keluar dari kereta. Cepat saja aku melangkah mendapatkan mereka.
“ Yusra,” ujarku gembira. Aku menyangka dia mahu meminta maaf padaku. Lantas tubuhnya ku rangkul.
“ Yus, aku tau kau akan minta maaf dengan aku,” esakkku. Tiba-tiba  Yusra meleraikan pelukanku lalu tubuhku ditolak. Aku hilang imbangan lantas jatuh tersungkur di atas batu.
“ Arghh!!” pekikanku benar-benar mengejutkan umi. Umi berlari keluar mendapatkanku.
“ Ya Allah Lin..” ujar umi sambil memangku diriku. Tangannya memekap dahiku yang berdarah dek terkena batu.
“ Aimi..apa semua ni?” soal umi ingin tahu.
“ Aku nak kau dan anak kau keluar dari rumah ni..bawa semua barang-barang kau..ingat kau hanya ada dua hari aja!” ujar Auntie Aimi kasar lantas berlalu. Umi menerpa ke arah Yusra sambil memeluk kakinya. Aku tersentak.
“ Tolong Yusra, jangan buat mak cik begini,” rayu umi memohon simpati.
“ Hei lepaslah perempuan kotor!” jerkah Yusra lantas menolak umiku. Aku meluru mendapatkan umi yang tersungkur menyembah bumi. Air mataku terasa tiada hentinya.
“ Jom mama kita pergi. Tinggalkan pengemis ni di sini,” ujarnya lantas menarik Auntie Aimi pergi.
“ Yusra..sampai mati aku akan ingat perbuatan kau padaku!” pekikku.

                Aku kembali ke alam nyata. Aku menyelak anak rambutku yang berjuntaian di dahi. Parut di dahiku akibat peristiwa lampau masih berbekas. Ianya bagaikan parut duka semalam yang kesannya sukar dihilangkan. Aku mengesat air mataku yang tumpah lantas melangkah ke pintu. Aku memulas tombol pintu. Wajah pertama yang ku tatap ialah wajah suamiku. Haritz melemparkan pandangan sayu. Dia masih setia menungguiku isterinya walaupun sudah dua jam lamanya aku mengurung diri di dalam bilik.
“ Lin..”
“ Cukup bang..Lin tetap tak mahu berjumpa dengan Yusra bang. Hati ini terlalu sakit bila mengenang masa silam,” ujarku memotong katanya.
“ Bukan itu sayang..abang lapar..bila kita boleh makan?” ujarnya nakal sambil memegang perutnya. Aku tersenyum mendengar gurauannya. Aku mengerling ke arah jam yang tergantung di dinding. Benar,  jam hampir pukul 2 dan biasanya pukul 1 kami sekeluarga telah pun menyentuh hidangan. Aku bergegas ke dapur. Dari kejauhan terdengar sayup-sayup tawa Haritz yang mengetawakan aku.

                “ Apa lagi yang auntie mahu katakan pada saya? Saya dah cakap saya tak kan pergi jumpa anak auntie,” ujarku keras. Kulihat wajah Auntie Aimi bertambah keruh.
“ Auntie minta maaf sangat dengan apa yang telah kami lakukan pada Lin, pada umi Lin dulu..” ujarnya sayu.
“ Maaf auntie? Maaf ? Hah..saya tak nampak dengan maaf auntie, auntie boleh kembalikan maruah umi yang tercemar untuk membesarkan saya,” ujarku keras. Auntie Aimi terdiam lantas menunduk. Air mataku menitis ke pipi. Kekuatan yang ku bina sebelum keluar bertemu dengan Auntie Aimi entah hilang ke mana sedangkan aku sudah berjanji pada diri ini bahawa tidak akan ada setitik pun air mataku yang akan mengalir di hadapan insan-insan yang telah merobek hatiku, membunuh tawa ria ku.
“ Maafkan auntie Lin..tolonglah maafkan auntie..auntie mohon,” ujarnya perlahan bersama sendu. Aku terdiam. Esakanku bertali arus.

                “ Sayang..kita kena keluar dari rumah ni,” ujar umi sayu sambil mengusap kepalaku. Dahiku yang berdarah telahpun di balut kemas. Aku hanya mengangguk lesu. Umi meninggalkan aku sendirian di dalam bilik lantas mengemas barang-barang kami. Aku hanya memerhati kerana umi menegah aku membantunya. Sekali lagi air mataku menitis ke pipi.
                Aku melangkahkan kakiku keluar dari rumah yang telah banyak meninggalkan kenangan. Aku kembali tersedu. Di rumah inilah kebahagiaan tercipta dan di rumah ini jualah nestapa melanda. Aku jadi teringat akan senyuman walid semasa hayatnya. Bagaikan terbayang-bayang saja wajah walid yang tersenyum di muka pintu menyambut kepulanganku dari sekolah. Ku toleh ke arah pangkin di bawah pohon jambu. Wajah lembut Yusra yang sedang melambai-lambai padaku menabiri ruang mata.
“ Sudah lah Lin..mari kita pergi dari sini…kita bina hidup yang baru,” pujuk umi sambil memegang lenganku. Aku mengangguk lesu.

                Aku kembali ke alam nyata tatkala merasakan ada tepukan yang singgah di bahuku. Aku lihat wajah Kak Azyan yang penuh kerunsingan melihat keadaanku.
“ Lin, kenapa ni? Sejak tadi akak tengok Lin macam ada masalah aja..ceritakanlah pada akak. Kita kan adik-beradik walaupun berbeza ayah dan ibu,” ujarnya lembut. Aku menatap wajah kakak tiriku itu. Aku merasa begitu beruntung mendapat seorang kakak yang benar-benar peduli akan diriku.
“ Entahlah kak..banyak sangat yang Lin fikirkan..” ujarku lemah.
“ Pasal masa silam Lin ke?” soalnya. Aku tersentak sedikit namun rasa terkejutku memudar tatkala aku menyedari pastinya Haritz telah menceritakan semuanya pada Kak Azyan.
“ Lin..akak tak berniat nak masuk campur urusan peribadi Lin tapi kalau Lin perlukan seorang pendengar akak sedia menjadi pendengar meskipun akak tak mampu jadi penasihat yang baik..” ujar Kak Azyan lembut lantas bangun dari duduknya. Aku meraih tangan Kak Azyan yang ingin beredar.
“ Akak..Lin tak tahu macam mana nak cakap,” ujarkku perlahan. Kak Azyan kembali duduk di sampingku.
“ Ceritakanlah apa yang mampu terluah di mulut Lin,” ujarnya. Aku mengeluh kecil.

                Aku memandang wajah umi yang sayu.
“ Tapi umi rantai dan gelang ni pemberian arwah walid..umi tak boleh gadaikan. Ini saja yang kita ada umi,” ujarku menghalang niat umi.
“ Apa yang boleh umi buat Lin..semua ni untuk bayar sewa rumah Lin..bil api,air, sekolah Lin lagi,” balas umi perlahan.
“ Lin boleh berhenti sekolah umi,” ujarku.
“ Jangan buat kerja bodoh Lin..umi tak nak anak umi jadi orang yang tak berpelajaran,” ujar umi keras.
“ Tapi umi..Lin tak sanggup tengok umi derita macam ni..” ujarku sebak.
“ Lin tak payah fikirkan umi..yang penting Lin kena fikirkan pelajaran Lin..ingat pesan walid, walid nak Lin jadi orang yang berguna,” ujar umi kembali lembut.
“ Lin janji umi..Lin akan tunaikan impian walid,” ujarku sayu. Umi memeluk tubuhku lantas menciumi ubun-ubunku. Aku bertambah sebak.
               
                Aku lihat wajah umi yang keruh.
“ Apa umi? Umi dipecat..tapi kenapa?” soalku bertalu-talu. Umi hanya mampu menggeleng.
“ Ketua umi cakap arahan datang dari orang atas..Lin maafkan umi nak. Sekarang kita betul-betul dah tak punya apa-apa,” esak umi.
“ Ni mesti kerja Yusra. Kan kilang benang tu milik papa dia..umi kenapa Yusra benci sangat dengan kita umi..” ujarku sayu. Umi hanya mampu menangis tanpa dapat menjawab pertanyaanku.
               
                “ Tolong lah tauke..bagi saya masa. Kami tak ada duit sekarang,” ujar umi memohon simpati agar kami tidak dihalau keluar.
“ Aya Aisyah..wa bukan tatak kesian sama lu anak-belanak tapi wa juga harus cari wang ma,” ujar Tauke Yap pelat.
“ Tolong la tauke..saya sanggup buat apa saja,” ujar umi merayu. Aku hanya memerhati dengan sebak. Ku lihat Tauke Yap terdiam seketika.
“ Macam ni lah Aisyah, lu boleh tinggal sini tak payah bayar dengan wang,” ujar Tauke Yap. Ku lihat matanya melilau ke arah tubuh umi. Pandangannya penuh nafsu sehinggakan membuatku kurang selesa.
“ Terima kasih tauke,” ujar umi.
“ Nanti dulu..saya belum habis cakap lagi ma..lu kena bayar dengan tubuh lu la,” dan kata-kata itu benar-benar menyentakkan aku.
“ Tauke, saya dan umi akan keluar tauke, kami lebih rela merempat,” ujarku kasar. Umi masih mendiamkan diri. Akhirnya ku lihat umi mengangguk.
“ Umi,” dan esakanku berpanjangan.
“ Lin, umi korbankan segalanya demi Lin,” ujar umi sayu sebelum dia hilang dari pandanganku bersama Tauke Yap.

                “ Lepas tu akak pun tau kan. Cikgu Lin,Cikgu Najib, abah akak dengan rela hati mengahwini umi lepas dia tahu apa yang terjadi pada kami,” ujarku setelah menceritakan semuanya pada Kak Azyan.
“ Ya mulanya akak tak boleh terima tapi sekarang akak dah faham. Apa yang abah buat memang betul. Menyelamatkan umi dari terus terjerumus ke lembah hina dan noda..” ujar Kak Azyan.
“ Sebab tu akak, Lin tak rasa yang Lin boleh maafkan Yusra dan Auntie Aimi atas apa yang dah terjadi. Mereka dah menyebabkan umi kita menjual maruahnya sebab nak besarkan Lin,” ujarku lagi. Ku lihat mata Kak Azyan turut berkaca.
“ Sabarlah Lin..apa-apa pun mintalah petunjuk Allah,” nasihatnya.

                Abah dan umi memandang diriku. Aku tahu apa yang akan mereka sampaikan.
“ Lin sayang..maafkan Yusra ya,” pujuk abah lembut. Aku tetap membisu.
“ Lin..tolong jumpa dengan Yusra..Auntie Aimi pun dah datang minta maaf pada umi,” ujar umi pula.
“ Umi, abah..Lin masih belum dapat melupakan peristiwa dulu. Abah pun tahu betapa seksanya Lin dan umi dulu kan,” jawabku perlahan. Haritz disebelahku hanya membisu.
“ Lin, kalau umi yang menanggung beban dosa boleh memaafkan Yusra kenapa Lin tak boleh sayang, tolonglah, maafkan Yusra,” pinta umi perlahan dan permintaan umi amat sukar untuk aku tunaikan.
“ Umi..maafkan Lin, kali ni Lin tepaksa kecewakan umi,” ujarku sayu. Memang menghapuskan parut luka di hati amat sukar untuk ku lakukan.
“ Lin, kalau betul Lin sayangkan umi, tolong maafkan Yusra. Umi tak nak di akhirat nanti anak umi disoal oleh Allah mengapa tidak memaafkan orang yang sudah meminta maaf dari Lin. Umi tak nak anak umi terseksa di sana,” dan kata-kata umi kali ini benar-benar mencairkan keras hatiku. Air mataku kembali berguguran.
“ Umi sayang anak umi..umi tak nak anak umi masuk neraka. Umi tak nak,” ujar umi.
“ Umi..demi kasih umi pada Lin, Lin maafkan segala kesalahan Yusra dan Auntie Aimi,” ujarku akhirnya. Serentak kalimah ‘Alhamdulillah’ keluar dari mulut abah dan suamiku.
               
                Aku menggagahkan kaki melangkah ke wad tempat Yusra dirawat. Dari kejauhan ku lihat Uncle Azrill dan Auntie Aimi sedang menunggu. Auntie Aimi bagaikan terkejut melihatku lantas cepat-cepat dia melangkah mendapatkan aku.
“ Lin, akhirnya Lin datang jugak..maafkan auntie Lin sebab dah banyak buat dosa pada Lin..kalau diikutkan auntie rasa mahu saja auntie sujud di telapak kaki Lin,” ujar Auntie Aimi.
“ Sudahlah auntie. Kita lupakan. Lin dah maafkan segala kesalahan auntie dan Yusra pada Lin,” ujarku.
“ Mari auntie bawakan Lin jumpa Yusra,” ujar Auntie Aimi sambil menarik tanganku.Aku hanya menurut.
                Entah seperti apa yang dapat aku ucapkan. Aku terlalu terkejut dengan keadaan Yusra sekarang. Dulu jasad itu padat berisi kini hanya tebujur kaku dan hanya menampakkan tulang-temulangnya. Wajahnya ku lihat cengkung tak bermaya. Aku melangkah mendekat ke arah katil Yusra. Asyiqin yang berada di situ terkejut melihat kedatanganku. Azmiah juga.
“ Lin akhirnya kau datang juga,” ujar Asyiqin.
“  Ya aku datang sama seperti pintamu,” ujarku perlahan.
“ Lin berbicaralah dengan Yusra, mungkin hanya kau yang boleh melepaskan semua deritanya,” ujar Azmiah pula. Aku hanya diam membisu.
“ Aku dan Azmiah keluar dulu ya. Berbicaralah dengannya,” ujar Asyiqin lantas keluar diikuti Azmiah. Aku menarik kerusi yang dikosongkan Azmiah lantas duduk di samping Yusra.
“ Assalamualaikum Yus,” ujarku perlahan. Kulihat mata Yusra bergerak-gerak dalam pejamnya.
“ Yus..kau ingat tak dulu, kita selalu bersama sampailah kejadian itu memisahkan kita. Aku dan kau menjadi musuh Yus,” ujarkku sayu. Perlahan-lahan mengalir mutiara jernih dari mata Yusra yang terpejam.
“ Tapi Yus demi Allah aku dah maafkan kau. Aku dah redhakan segalanya Yus..” ujarku lantas menggenggam tangannya yang sejuk.
“ Demi Allah..kau tetap sahabat aku,” ujarku lantas menangis. Aku menundukkan wajahku tak sanggup melihat fizikal Yusra. Keadaannya benar-benar menyedihkan hatiku. Habis hilang sakit hatiku padanya.
“ Jika benar kau mahu aku ampunkan kau Yus, bangkitlah dari lenamu. Kembalilah bersamaku. Kita akan bergurau senda sama macam dulu. Aku akan kenalkan orang yang amat aku cintai pada kau. Dia lelaki yang selalu kigta gambarkan bersama. Seorang lelaki yang pengasih. Yus aku janji, selepas ini aku dan kau akan menjadi satu kembali. Yus..bangkitlah. jangan terus menyeksa kami,” rayuku sambil menggenggam tangannya erat.
“ Faz..Fazlina,” sayup-sayup aku mendengar suara seseorang menampar gegendang telingaku.
“ Yus, kau dah sedar Yus,” ujarku gembira.
“ Lin..ak..aku min..minta ma..maaf de..ngan se..gala a..pa yang ter..jadi..aku dah…ba..banyak sakitkan ha..hati kau,” ujarnya tersekat-sekat.
“ Aku dah maafkan kau Yus,” ujarku sayu.
“ Ka..ka..lau ma..macam tu..aku dah boleh per..gi..” ujarnya lagi.
“ Tak Yus..kau kena kuat. Kau kena kenal anak aku..anak saudara kau,” ujarku hiba.
“ An..anak kau..an..ank sau..dara aku..sam..sampaikan sa..lam pa..da dia,” kata-kata Yusra benar-benar merobek hatiku.
“ Tak aku tak akan sampaikan. Kau kena jumpa dia. Kau kena jumpa,” ujarku sebak. Ku lihat Yusra tersenyum. Perlahan-lahan matanya kembali terpejam kemudian terbuka kembali.
“ Dah..ti..tiada apa yang..aku nak kesalkan..” ujar Yusra perlahan. Nafasnya mula menderu perlahan.
“ Yus..mengucap Yus..Asyh..” Yusra mengikut tutur lafaz syahadahku. Perlahan-lahan Yusra menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ku lihat wajahnya begitu tenang. Uncle Azrill, Auntie Aimi, Asyiqin, Azmiah, abah dan umi menerpa masuk. Aku memeluk umi dan melepaskan kesedihanku.

                Aku menyirami pusara Yusra dengan air mawar. Tangisanku sudah lama berhenti. Aku meredhakan pemergian Yusra. Auntie Aimi menghulurkan sepucuk surat padaku sebaik saja acara pengebumian selesai.
“ Dari Yusra sebelum dia koma,” ujarnya perlahan. Aku mengambil surat itu dari huluran Auntie Aimi. Aku menelan liur lantas surat itu ku baca.

Assalamualaikum..
  Kehadapan sahabatku Fazlina.
            Lin, aku mohon berbanyak-banyak maaf padamu kerana menyakitimu Lin. Aku tahu betapa sengsaranya engkau akan perbuatanku namun aku terpaksa. Lin biarlah di sini ku ceritakan hal yang sebenar.
Disaat aku menyakitimu ketahuilah aku juga turut terluka. Aku masih ingat waktu kita bertemu di Crystall Caffe, aku gembira sekali dapat bertemu kau namun saat itu juga aku teringat sesuatu yang amat menyakitkan. Aku terpaksa Lin kerana aku tak mahu kau berduka. Aku dah disahkan menghidap penyakit barah otak di tahap yang serius dan hayatku dijangka tidak lama. Kerana itu aku menyakitimu. Aku tidak mahu melihat wajah sedihmu. Sekurang-kurangnya apabila aku pergi kau tetap seperti apa adanya engkau kerana kebencianmu padaku.
            Tapi ketentuan Allah tak ada manusia yang boleh menghalang. Aku hidup lebih lama dari jangkaaan doktor tetapi aku tetap merasa waktu ku hampir tiba lalu ku utus Asyiqin untuk bertemu denganmu Lin bagi menyampaikan kata maafku.
            Aku tak berharap banyak yang kau akan memaafkan dan datang melawatku tetapi semalam sebelum aku mencoretkan pena di atas kertas ini aku bermimpi kau hadir bersama senyuman dan mimpi itu benar-benar ku harap menjadi kenyataan.
            Lin, selepas kematian aku..kau uruskanlah syarikat yang telah aku tubuhkan itu. Syarikat impian kita . Syarikat yang mereka bentuk fesyen-fesyen baju baru. Aku juga dah menubuhkan sebuah butik pakaian. Butik Fazlizzati. Aku sudah merancang untuk membuka beberapa cawangan lagi.  Butik itu melambangkan sayangku padamu. Butik yang namanya aku gabungkan namaku dan namamu. Aku telah mewasiatkan segala hartaku ke atas namamu. Anggaplah ini satu penebusan dosaku padamu.
            Lin, aku mengucapkan berbanyak terima kasih atas kemaafan yang kau bakal berikan padaku.
                                                                                                                                                Salam sayang
                                                                                                            YusraIzzati
                Aku mengesat mataku yang basah. Aku benar-benar terkejut dengan kenyataan yang baru ku ketahui. Aku bangun lantas mendapatkan suami dan anakku. Sebelum berangkat pergi aku kembali memandang pusara yang masih merah. Yusra Izzati semoga rohmu tenang di sana. Bisikku beralun doa.

p/s: nma2dlm ni smua nma kwan2 sy...tp  xde kaitan pun dgn dorang... ^__^;

1 comment: