Sahabat Saya...

Saturday 16 June 2012

Bab 6


Izham
mengeluh. Nafasnya terasa sesak. Dirinya diuliti resah berpanjangan. Perbualannya dengan emaknya melalui telefon di kampung terngiang-ngiang kembali.
            “ Iz..mak tak kira, kau kena kahwin jugak dengan budak tu kalau sampai harijadi kau yang ke-27 pun kau masih tak bawa bakal isteri kau jumpa mak,” ujar Pn. Rafidah. Izham mengeluh.
            “ Mak..janganlah paksa saya kahwin. Biar saya kerja dulu.. boleh hantar mak dan ayah ke Mekah barulah saya fikir nak kahwin,” ujar Izham.
            “ Iz..mak ni dah tua. Ayah engkau tu pun bukan sihat sangat. Kami ni kalau Tuhan nak panggil bila-bila masa aja. Sebab tu kami teringin nak timang cucu. Hanya pada kamu kami berharap. Takkan si Izzah tu kut yang nak kahwin dulu dari kamu,” ujar Pn. Rafidah panjang lebar .
            “ Mak..macam ni lah.. saya akan cuba cari calon menantu mak. Cuma bagi saya sedikit masa je,” ujar Izham.
            “ Tak de masa-masa.. kalau sebelum harijadi kau ni kau masih tak jumpa seorang perempuan untuk jadi menantu mak.. mak kahwinkan kau dengan Fazlina,” ujar Pn. Rafidah lantas menghempas gagang telefon. Izham menarik nafas panjang.

IZHAM tersentak tatkala merasakan bahunya ditepuk lembut. Izham mengalihkan pandangannya. Amiera tersengih.
            “ Iz.. kau menungkan apa?” soal Amiera. Izham menggeleng lemah.
            “ Tak ada apa lah Miera. Aku ok je.. mungkin penat sikit,” dalih Izham.
            “ Iz.. aku kenal kau dah lebih sepuluh tahun tau. Sejak kita sekolah menengah lagi. Cerita la apa masalah kau ni sebenarnya.. kau termenung ni bukan sebab penat tapi ada masalah yang tependam dalam diri kau tu..” ujar Amiera.
            “ Miera.. ini urusan aku. Mind your own busness. Jangan sibuk-sibuk pasal aku la!” tengking Izham. Amiera tersentak. Pertama kali dia ditengking oleh Izham. Hati hawanya terusik.
            “ Fine.. sorry to interfere with your problem. I’m just asking as a friend. Kalau kau dah sedia nak bagi tau aku..aku ada dalam bilik aku,” ujar Amiera lantas berlalu. Izham mengeluh. Kesal kerana menengking Amiera.  Matanya tiba-tiba melirik ke atas kalendar yang terletak di hadapannya. Kekesalannya makin menghimpun tatkala menyedari hari ini merupakan hari yang istimewa buat Amiera.

HAZIMI memandang wajah mendung Amiera yang tidak seceria selalu. Hatinya dipagut bimbang.
            “ Miera..awak tak sihat ke?” soal Hazimi tanpa memandang wajah Amiera kerana dia sedang memandu. Hazimi pelik. Tiada balasan dari isterinya. Hazimi menghentikan pemanduannya.
Amiera disebelah ditenung. Masih diam tanpa menyedari kereta yang dinaikinya sudahpun berhenti.
            “ Miera..” ujar Hazimi sambil memegang bahu Amiera. Amiera tersentak.
            “ Ah iya.. kita dah sampai ya? Maaflah saya tak perasan,” ujar Amiera sambil membuka daun pintu Toyata Vios suaminya itu. Hazimi panik Dia segera turun. Segera pergelangan tangan isterinya dipegang.
            “ Hei..Miera..kita dekat tepi jalan ni? Awak ni jauh sangat lah berkhayalnya,” Amiera terkedu. Keadaan sekeliling dipandangnya.
            “ La..tak sampai lagi ke?” soal Amiera. Hazimi menggeleng. Lucu dengan telatah Amiera.
            “ Miera..Miera..awak ada masalah ke sampai rumah sendiri pun tak kenal. Macam ni lah saya bawak awak ke suatu tempat okey… biar tenang sikit hati awak tu,” ujar Hazimi sambil membuka pintu kereta dan mempersilakan Amiera masuk. Sepanjang perjalanan hanya alunan lagu yang berkumandang di corong radio yang memecah kesunyian Amiera bungkam. Hazimi membisu.

AMIERA terpegun melihat taman yang dibina berhampiran pantai. Sekitar taman itu dipenuhi dengan pelbagai bunga-bungaan yang cantik dan harum. Dari kejauhan terdengar deburan ombak menghempas pantai. Di tengah-tengah taman bunga itu tersergam sebuah teduhan yang begitu cantik reka bentuknya. Dindingnya hanya diperbuat dari kain putih berselang dengan warna biru lembut. Bagikan tirai untuk pementasan saja lagaknya. Di setiap tiang yang menyokong atap rumbia pondok itu dililitkan dengan pokok bunga yang berwarna-warni. Laju saja Amiera menolak daun pintu kereta lantas keluar.
            “ Macam mana..cantik tak tempat ni?” soal Hazimi yang sudahpun berdiri di tepi Amiera. Amiera hanya mampu mengangguk sambil menelusuri lorong yang menghubungkan antara pondok itu dengan tempat Hazimi memakirkan kereta. Di kiri kanan lorong itu dihiasi dengan bunga-bungaan mawar yang cantik lagi harum.
            “ Tak ada orang tahu ke tempat ni?” soal Amiera.
            “ Tak sebab ni tempat peribadi. Saya bina taman ni sebaik saja saya jadi guru,” ujar Hazimi. Amiera memandang wajah Hazimi. Serasa dia sekarang berada di dunia khayalan saja.
            “ Herm..tempat ni belum ada nama dan kebetulan sekarang musim ia berbunga… apa kata kalau saya namakan sempena nama awak Miera,” usul Hazimi. Amiera hanya terdiam. Terselit sedikit rasa bahagia di sanubarinya.
            “ Awak tau..saya rasa saya macam sedang dalam cerita-cerita anime yang saya selalu tengok aja..saya tak sangka tempat sebegini wujud,” ujar Amiera. Hazimi tersenyum.
            “ Tempat ni ada orang yang jaga. Saya upah mereka.. jom duduk dekat pondok tu,” ujar Hazimi sambil menarik tangan Amiera.
            “ Silakan duduk..sekejap lagi awak akan tengok sesuatu yang menakjubkan,” ujar Hazimi lantas langsir yang menutupi pondok itu dikuak. Amiera terpegun. Di hadapannya kini terbentang hamparan bunga-bungaan dan nun sedikit kelihatan pantai berpasir. Kebetulan hari mulai senja. Matahari yang ingin tenggelam di ufuk barat menambahkan keindahan suasana. Warna air laut seakan-akan keemasan dihiasi pula dengan bunga-bungaan. Amiera menitiskan air mata. Hazimi terkejut.
            “ Kenapa?” soal Hazimi. Amiera tersenyum menahan sendu.
            “ Awak tahu..hari ni harijadi saya yang paling bermakna. Dah 27 tahun saya hidup inilah hadiah yang paling istimewa yang pernah saya dapat,” ujar Amiera menahan tangis. Hazimi tersentak. Hari ni hari jadi Amierakah? Hazimi hanya mampu tersenyum. Insaf dengan kekhilafan diri hinggakan hari jadi isteri sendiri tidak diingati. Tapi dia tetap bersyukur kerana tergerak hatinya untuk melakukan sesuatu untuk Amiera pada hari jadinya.
            “ Terima kasih Hazimi,” ujar Amiera sayu. Hazimi tersentak lagi.

AMIERA dan Hazimi menjalani hidup berumahtangga seadanya. Hazimi memanggung kepalanya.  Fikirannya berlari jauh. Tidak adilkah aku pada Amiera? Zalimkah aku padanya? Soal hatinya Hazimi mengeluh. Keluhannya menggamit pandangan Razlan.
            “ Kau kenapa? Gaduh dengan bini kau ye,” soal Razlan. Hazimi mengukir senyuman namun nyata senyuman itu hambar.
            “ Aku okey je Lan..eh bila majlis kau dengan Syarifah?” soal Hazimi.
            “ Cuti semester ni lah.. Jimi kau ni kenapa?” soal Razlan.
            “ Aku tengah fikir pasal rumahtangga aku la,” ujar Hazimi.
            “ Sah kau gaduh.. biasa lah Jimi  rumahtangga mana yang tak bergolak..” ujar Razlan memberi nasihat. Hazimi tersenyum.
            “ Kau nak nasihat aku ke? Maaflah kau sendiri pun belum kahwin nak nasihat aku pulak,” bidas Hazimi. Razlan ketawa. Langsung tidak terasa dengan kata-kata Hazimi.
            “ Kau tak nak balik lagi ke?” soal Razlan tatkala dia menyedari waktu persekolahan sudah lama berlalu. Hazimi menggeleng.
            “ Aku nak siapkan fail ni dulu.. kau balik la,” ujar Hazimi. Razlan mengucapkan salam lantas berlalu.

IZHAM menghampiri Amiera yang duduk menghadap taman buatan di hospital itu.
            “ Miera.. I’m sorry about yesterday..” ujar Izham tiba-tiba. Amiera tersentak. Dia mengurut-ngurut dadanya.
            “ Kau ni Iz..tak reti bagi salam ke? Nasib baik aku ni sihat walafiat. Kalau tidak kau terpaksa rawat aku tau,” ujar Amiera geram. Izham tersenyum lantas melabuhkan duduknya di tepi Amiera. Amiera mengensot menjauh. Izham perasan namun didiamkan saja.
            “ Aku nak minta maaf pasal kelmarin dan aku nak ucap Selamat Hari Jadi dekat engkau walaupun dah lewat sehari,” ujar Izham. Amiera mengangguk.
            “ Aku okey je.. lagipun ada baiknya jugak kau marah aku..kalau tak mesti aku punya mood ceria je. Tak adalah aku peluang ke tempat istimewa,” ujar Amiera. Izham termangu. Kehairanan singgah  di hatinya.
            “ Maksud kau apa?” soal Izham.
            “ Aku mengaku memang aku terasa hati sikit dengan kau. Jadi mood aku tak berapa elok. Laki aku perasan dan bawa aku ke satu tempat yang istimewa.. tanda sebagai hadiah harijadi ku,” ujar Amiera. Izham mengangguk. Sepi seketika. Tiba-tiba telefon Amiera berdering.
            “ Ya?” ujar Amiera. Senyap seketika.
            “ Okey baiklah.. saya pergi ambik awak,” ujar Amiera lantas bangkit.
            “ Iz, aku pergi dulu la. Kawan aku minta aku pergi ambik dia la,” ujar Amiera. Izham hanya mampu memandang Amiera yang berlalu pergi.

HAZIMI mengeluh. Ditinjaunya tayar kereta yang pancit. Hampir saja dia kemalangan. Entah apa lah nasibnya hari itu. Tiba-tiba dia didekati tiga lelaki.
            “ Kenapa bang?” soal salah seorang dari mereka.
            “ Ni ha tayar kereta saya ni pancit pulak. Entahlah kenapa,” ujar Hazimi. Salah seorang pemuda itu meninjau-ninjau keadaan kereta Hazimi. Tiba-tiba pemuda yang paling tegap memaut Hazimi lantas mengacukan pisau ke lehernya. Hazimi kaget.
            “ Serahkan semua wang yang kau ada atau nyawa kau taruhannya,” ujar pemuda berkumis nipis.
            “ Aku.. mana ada duit. Aku baru balik kerja la,” ujar Hazimi lantas menyiku perut pemuda yang memegangnya.
            “ Woi Zim.. dia melawan la,” ujar pemuda berkumis nipis. Hazimi dikepung.
            “ Berani kau melawan ye..” ujar pemuda berkumis nipis.
            “ Serang,” ujar pemuda berbadan tegap. Ketiga-tiga mereka menyerang Hazimi. Hazimi cuba mempertahankan diri namun dia tidak berdaya. Tangannya telah dipegang. Tumbukan demi tumbukan hinggap di perut dan mukanya. Hazimi tersungkur.
           
AMIERA mengetap bibirnya tatkala melihat suaminya dipukul. Amiera lantas turun dari kereta Produa Myvinya. Dia cepat-cepat menapak ke arah Hazimi.
            “ Hei..tiga lawan satu bukan anak jantan namanya!” tempik Amiera. Ketiga-tiga pemuda itu terkejut namun cuma seketika.  Mereka memandang Amiera sambil ketawa terbahak-bahak.
            “ Adik manis..datang nak teman abang-abang bermain ke?” soal pemuda berbadan tegap. Langsung tidak merasa takut denagn tengkingan Amiera bahkan Amiera dipandang dengan penuh bernafsu. Amiera mula membuat muslihat. Dihampirinya ketiga-tiga pemuda itu. Lenggoknya manja dan menggiurkan. Amiera menghampiri pemuda berkumis nipis lantas memegang dada pemuda itu.
            “ Bang..abang nama apa?” soal Amiera manja. Pemuda berkumis nipis tersenyum.
            “ Nama abang Lukman, yang ni Hazim dan yang tu Riezman,” ujar Lukman. Tangannya mula memeluk pinggang Amiera. Apa taknya pucuk di cita ulam mendatang. Di saat inilah Amiera bertindak. Tangannya yang berada di dada Lukman digenggam lantas satu tumbukan dihadiahkan buat pemuda itu. Lukman terundur ke belakang. Dadanya terasa perit dek tumbukan Amiera. Hazim dan Riezman menyerang Amiera secara serentak. Amiera mengelak lantas tumbukan Hazim yang dihalakan padanya disasarkan kepada Riezman. Kedua-dua mereka rebah. Lukman menghampiri Amiera sambil menghunus pisau. Ditikamnya Amiera bertalu-talu. Amiera mengelak dan menepis. Pada masa yang sama Riezman bangkit menyerang. Amiera cepat-cepat mengelak. Tikaman Lukman tersasar. Riezman memegang perutnya yang mulai berdarah. Dia rebah. Lukman kaget. Hazim terkejut lantas mereka segera melarikan diri. Amiera cepat-cepat menapak ke arah Riezman. Bantuan kecemasan diberikan. Selesai kerjanya Amiera menelefon ambulans. Amiera menghampiri Hazimi yang lesu. Hiba hatinya tatkala melihat wajah Hazimi yang lebam-lebam.
            “ Jimi..bangun..” ujar Amiera lembut. Hazimi cuba mengangkat kelopak matanya namun tak berdaya. Dia pengsan di situ.

HAZIMI membuka matanya. Dikitari ruang bilik itu dengan ekor matanya. Sejak bila agaknya aku dekat bilik aku ni ya, soal hatinya. Tiba-tiba pintu bilik terkuak. Hazimi cepat-cepat menutup matanya. Amiera menghampiri suaminya. Sebekas air suam-suam suku diletakkan di atas lantai. Diambilnya sehelai tuala lantas dicelup ke dalam air. Diperah airnya lantas tuala itu digunakan untuk mengelap badan Hazimi yang terdedah. Dia melakukannya dengan hati-hati. Tidak mahu mengejutkan Hazimi dari lenanya walhal setiap perbuatannya sedang diperhatikan oleh Hazimi. Amiera membuka baju Hazimi perlahan-lahan. Bergetar dadanya namun dia cuba bertenang. Hazimi juga begitu. Jari-jemari lembut yang terasa merayap di dadanya benar-benar menggugat kesabarannya. Amiera memandang wajah suaminya. Ada yang aneh disitu. Terasa dirinya diperhatikan. Amiera menghentikan perbuatannya lantas bangun dan keluar.

HAZIMI mencelikkan matanya. Amiera terlalu sabar melayaninya sedangkan dia tidak pernah berbuat apa-apa untuk membahagiakan isterinya itu bahkan dia lebih banyak menyusahkan Amiera. Hazimi tersentak sekali lagi tatkala melihat Amiera menolak daun pintu. Amiera masuk dengan sebekas ubat-ubatan.
            “ Awak makanlah ubat ni dulu. Tapi sebelum tu awak minum susu ni dulu, perut awak tu kosong. Dah dua hari tak bangun-bangun,” ujar Amiera lantas meletakkan ubat dan susu di atas meja solek. Hazimi masih mendiamkan diri.
            “ Oh ya..saya belum beri tahu dekat mama yang awak sakit. Awak nak saya bagitahu dekat mama ke?” soal Amiera. Hazimi menggeleng.
            “ Tak payah lah Miera. Saya tak nak susahkan mama,” ujar Hazimi akhirnya.
            “ Awak nak makan apa? Saya masakkan. Saya ambil cuti seminggu. Lagipun baki cuti saya banyak lagi,” ujar Amiera. Hazimi terdiam seketika.
            “ Awak masaklah apa-apa pun, saya telan je,” ujar Hazimi sambil menahan lelah. Amiera tersenyum.
            “ Kalau macam tu saya masakkan batu je la..kan mudah, senang dan cepat disediakan,” usik Amiera.
            “ Apa kata kalau awak campur kayu..lagi sedap. Lepas  tu campur daun-daun kering yang dah gugur tu,” jawab Hazimi serius.
            “ Boleh jugak..nanti saya campur bunga sekali,” jawab Amiera sambil mengatur langkah.
            “ Eh..Miera..saya gurau je. Tak kan awak nak masak benda tu semua kot,” ujar Hazimi.
            “ La, saya tak kata pun yang saya serius. Saya pun sayang suami saya tau. Tak kan nak bagi mati keracunan makanan,” jawab Amiera selamba. Hati Hazimi terusik dengan kata-kata Amiera.
            “  Cepat la..awak nak makan apa ni? Kalau saya masakkan awak bubur ayam macam mana?” soal Amiera. Hazimi hanya mengangguk setuju. Amiera mengatur langkahnya. Tiba-tiba langkahnya terhenti. Amiera memusingkan badannya.
            “ Jangan lupa makan ubat tu. Nanti kalau tak makan saya bagi injection,” ujar Amiera sambil bergurau. Hazimi tertawa. Dia sedar sebenarnya dia takutkan jarum dan dia pasti Amiera tahu itu. Ubat di tepinya di ambil lantas disuakan ke mulut. Di tolak pula dengan air. Hazimi kembali memejamkan matanya. Lama dia memejamkan matanya. Kata-kata Amiera masih terpahat dalam ingatannya. ‘ Saya pun sayang suami saya tau,’ dan kata-kata Amiera menjadi peneman lenanya.

PETANG itu, Amiera meluangkan masa menguruskan rumahnya. Sudah sebulan dia tidak berkesempatan untuk menjaga dan merawat taman mininya. Hazimi memandang Amiera dari sebalik langsir. Jelas kelihatan keriangan isterinya membelai-belai bunga-bungaan yang sedang mekar mewangi. Puas membelek bunga, Amiera ke kolam buatan pula. Daun-daun kering yang berguguran dikautnya dengan jaring. Sesekali kautannya mengenai ikan hiasan di dalam kolam itu. Cepat saja dia melepaskan ikan itu ke dalam kolam kembali. Hazimi masih ralit memerhatikan Amiera. Dia melangkah menuruni anak tangganya. Berniat mahu menyertai Amiera.
            “ Miera..” panggil Hazimi lembut. Amiera berpaling lantas menghadiahkan sekuntum senyuman yang manis. Hazimi terpana. Senyuman Amiera amat istimewa di matanya.
            “ Erm..boleh saya tolong?” soal Hazimi mesra.
            “ Eh tak payah lah. Awak pun bukannya sihat sangat lagi. Awak rehat je lah,” ujar Amiera melarang.
            “ Saya lelaki Miera..saya dah sihat. Saya kan kuat,” ujar Hazimi mendabik dada.
            “ Ye la..kuat sangat la sampai pengsan kena pukul,” ejek Amiera. Hazimi membulatkan matanya. Tergamak Amiera mempersendakan dirinya. Hazimi mendiamkan diri. Cuba mengusik Amiera. Mahu melihat bagaimana wanita itu menghadapi dirinya yang sedang marah.
            “ Awak..awak marah ke?” soal Amiera apabila suasana riang menjadi senyap sunyi. Hazimi membatukan diri. Mahu mengajar Amiera.
            “ Awak kalau saya salah maafkan saya, saya tak nak jadi isteri derhaka,” ujar Amiera lembut. Tangan Hazimi dicapai.
            “ Maafkan saya terlancang bicara. Janganlah awak menghukum saya begini. Saya lebih rela dipukul Hazimi,” ujar Amiera lantas menyalami tangan Hazimi. Hazimi tersentak. Keikhlasan Amiera benar-benar menghibakannya. Hazimi menarik tangannya dari pegangan Amiera. Amiera terkedu. Sangkanya Hazimi masih marah padanya.
            “ Hazimi..” Amiera terkedu. Bibirnya terkunci rapat. Terasa panas bibir Hazimi singgah di bibirnya. Lama bibir itu bertaut barulah dileraikan.
            “ Itu saja hukuman awak Miera..” lantas Hazimi berlalu. Meninggalkan Amiera yang masih tergamam dengan tindakan suaminya. Perlahan-lahan jarinya menyentuh bibirnya sendiri. Sentuhan Hazimi benar-benar membuatkannya tak terkata.

HAZIMI dan Amiera saling berpandangan. Kehadiran Raja Faridah secara tiba-tiba mengundang resah mereka.
            “ Mama..kami baru aja kahwin. Belum puas nak bemesra lagi,” ujar Hazimi.
            “ Jimi.. mama tau tapi mama dah tua. Mama teringin nak timang cucu sebelum mama menutup mata,” jawab Raja Faridah.
            “ Mama..bukan kami tak nak..tapi buat masa ni biarkan dulu ya. Kami nak stabilkan ekonomi rumah tangga kami dulu baru fikir pasal anak,” ujar Amiera memujuk.
            “ Suka hati kamulah.. kamu berdua ni tak sayangkan mama,” ujar Raja Faridah dalam nada rajuknya.
            “ Ma.. sini kejap,” ujar Amiera lantas menarik tangan ibu mentuanya itu ke arah taman mini di belakang rumah.
            “ Mama..mama ingat tak apa yang mama suruh Miera buat hari tu?” soal Amiera sambil memandang tepat ke anak mata Raja Faridah.
            “ Mama ingat tapi kenapa?” soal Raja Faridah kembali.
            “ Ma.. macam mana Miera nak selesaikan dua masalah sekali gus. Kalau Abang bencikan papa tak mustahil abang tak akan benarkan papa sentuh anak dia. Kalau macam tu lagi susah mama.. jadi mama biarkan Miera baikkan papa dengan abang dulu baru Miera akan beri mama cucu,” ujar Amiera. Raja Faridah termenung sebentar sebelum mengiakan kata-kata Amiera. Amiera menarik nafas lega. Raja Faridah pulang ke rumahnya dengan hati yang girang.

MALAM itu Hazimi termenung di atas katilnya sendiri. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia sanggup menciumi bibir Amiera. Dia merasa hairan dengan rasa bencinya dulu. Dulu dia benar-benar membenci Amiera. Melihat wajah Amiera pun dia seakan-akan jijik. Akhirnya dia tersedar. Dia tidak membenci Amiera tetapi egonya melambung tinggi. Ego yang mengatakan dia tidak boleh mencintai bekas anak murid sendiri. Hazimi bangkit lantas menuju ke almari baju. Diambilnya sesuatu dari dalam almari itu. Sebuah bingkai gambar yang menempatkan sekeping gambar yang membawa seribu kenangan. Hazimi merenung wajah Amiera yang berdiri disampingnya sambil memegang trofi. Wajah ceria Amiera ditatapnya lama. Wajah Amiera ketika masih remaja. Hazimi akur akhirnya. Amiera telah lama dicintai. Sejak mula-mula dia mengenali Amiera lagi namun tanggungjawab lebih besar dari rasa cintanya. Cintanya pada Amiera lapan tahun dulu masih segar dalam taman hatinya.

No comments:

Post a Comment