Sahabat Saya...

Sunday 15 April 2012

Bab 3


Amiera
 memandang  wajahnya yang terpantul di cermin. Wajah yang sudah terhias cantik. Hanya mekap nipis yang digunakan. Itu pintanya.
            “Adik ni cantik. Tak susah akak nak solekkan. Muka adik ni kalau tak disolekkan pun memang cantik,” ujar Azwani.
            “ Ala kak… Alang-alang hari nikah saya apa salahnya bersolek sikit,” usik Amiera.
            “ Akak tahu lah. Akak memang pantang kalau ada orang lebih cantik dari akak tapi dengan adik memang akak kalah,” usik Azwani lagi.
            “ Ala kak, kalau akak tak cantik tak adanya Tengku Farhan abang adik tu boleh berkenan dengan akak,” balas Amiera. Azwani hanya tersenyum. Suasana di luar bilik pengantin mulai riuh. Amiera merasakan degupan jantungnya mulai laju.
            “ Pengantin lelaki dah sampai. Kejap lagi akad nikah. Be prepare,” bisik Azwani. Amiera hanya mengangguk. Dengan sekali lafaz Tengku Shaziera Amiera sah menjadi milik Megat Razif Hazimi. Amiera menadah tangan. Segala puji dipanjatkan kepada Illahi. Entah mengapa air matanya berguguran.
            “ Eh adik.. jangan nangis,” ujar Azwani. Hazimi diarak masuk tetapi dihalang oleh Azwani.  Adat dahulu masih lagi dikekalkan.
            “ Anak rusa masuk ke taman, hajat di hati ingin memakan bunga-bungaan, memang si dara haknya tuan, di bayar dahulu baru diizikan,” ujar Azwani berpantun. Tengku Farhan menggaru-garu kepalanya. Berfikir untuk memberi jawapan.
            “ Anak cerpelai bermain di kali, hampir hanyut ke hulu sungai, berapa pinta harga diingini? Cepatlah semoga segala hajat tertunai,” jawab Tengku Farhan menanyakan soal bayaran.
            “ Anak keling mengayuh perahu, bawa sekali si pisang merah, jangan buat-buat tak tahu, bayarannya seperti yang ingin diserah,” ujar Azwani pula. Bilik pengantin bertambah gamat dengan tepukan jemputan yang hadir. Tengku Farhan terdiam seketika sambil meraba-raba saku baju melayunya.
            “ Makan bunga seri pagi, terasa gatal seluruh badan, bayaran kini sudah diberi, sekarang ingin dapat keizinan,” balas Tengku Farhan sambil menghulurkan sampul berisi  lima keping not lima puluh. Azwani menghitung. Dia tersenyum.
            “ Berkayuh pulang ke Pulau Andaman, bawa bersama si tuan puteri, terlunaslah sudah segala bayaran, tuan di izin berjumpa bidadari,” ujar Azwani. Laluan diberikan. Hazimi mengambil cincin bertatah zamrud yang dihulurkan lantas disarung di jari manis Amiera. Amiera menyalami suaminya. Satu ciuman singgah di dahinya. Terasa hangat. Hazimi kelihatan mesra melayani isterinya namun hanya mereka berdua yang tahu apa yang sebenarnya yang terjadi diantara mereka.
            “ Eh..Jimi tak kan pegang bahu je kot..peluk la pinggang si Miera tu. Hari ni kan hari bahagia kau,” ujar Tengku Helmi. Muka Amiera bersemu merah.
            “ Betul tu..kot ye pun segan..biarlah nampak mesra sikit,” sahut suara yang lain pula. Hazimi akur akhirnya. Dia memeluk pinggang Amiera. Amiera merasakan debaran yang amat kencang. Dia tidak pernah dipeluk begini oleh lelaki lain. Amiera menahan getaran jiwanya.



AMIERA mengemaskan barang-barang hantaran miliknya. Hadiah-hadiah yang diterimanya pula telah dibuka dan disimpan. Ternyata pilihan hatinya tepat. Namun dia sedar untuk mendapatkan kebahagiaan dari Hazimi sukar. Dia mengerti. Suaminya kini sedang berada di ruang tamu rumahnya. Sedang bermesra dengan ahli keluarganya. Riuh-rendah suara anak-anak saudaranya menandakan mereka masih belum penat berrmain. Apa tidaknya sesekali berkumpul begini, seronok juga. Amiera bangkit lantas keluar dari kamar peraduannya.

HAZIMI sedikit gelisah. Terasa seperti ingin disoal-siasat saja lagaknya bila dikelilingi oleh abang-abang Amiera.
“ Hazimi kerja apa?” soal Tengku Halim abang sulung Amiera.
            “ Saya cikgu sekolah menengah saja Along,” jawab Hazimi sopan.
            “ Kenapa tak kerja dengan papa Hazimi?” soal Tengku Azlan abang Amiera yang tengah.
            “ Saja je Angah. Nak cari duit sendiri. Lagipun kalau saya tak jadi cikgu tak bertemulah saya dengan Miera,” jawab Hazimi pula.
            “ Kenapa pula macam tu?” soal Tengku Farhan, sambil mendukung anaknya.
            “ Miera sebenarnya bekas anak murid saya. Masa tu baru setahun saya mula mengajar, sempat la jugak saya ajar Miera tu dua tahun,” ujar Hazimi.
            “ O..ada cerita la kiranya,” celah Tengku Halim. Hazimi bermain-main dengan anak saudara Amiera. Gelagatnya diperhatikan oleh abang-abang iparnya
            “ Along, Angah, Achik saya minta izin nak ke bilik,” pinta Hazimi.
            “ Pergilah. Kamu pun pengantin baru. Malam ni malam pertama pula tu. Yalah. Kami faham. Jangan buat Miera tertunggu-tunggu,” usik Tengku Halim. Amiera yang mencuri dengar perbualan mereka mula merasakan kehangatan singgah di pipinya. Malu benar rasanya mendengar usikan begitu tetapi dia sedar antara dia dengan Hazimi malam ini tidak akan terjadi apa-apa. Amiera melangkah pantas ke biliknya sebaik saja melihat Hazimi yang mulai menapak ke arah bilik pengantin.

HAZIMI menolak pintu biliknya. Dikerlingnya Amiera sekilas. Amiera perasan jelingan Hazimi namun dia tetap mendiamkan diri. Dia terus menyisir-nyisir rambutnya. Hazimi mengambil bantal dan bantal peluk lantas diletakkan di atas permaidani. Amiera tetap mendiamkan diri. Hazimi merebahkan dirinya sambil matanya memandang siling. Pandangannya diubah pula ke arah ke arah Amiera. Amiera perasan pandangan suaminya namun dia tetap berpura-pura tidak tahu. Dia masih juga selamba. Hazimi merenung Amiera. Apa kurangnya dia? Soal hatinya. Dengan kulit putih melepak. Rambut panjang berketak-ketak dan wajah nan ayu. Pandangan Hazimi beralih pula ke arah leher Amiera yang jinjang. Dia menelan liurnya sendiri tatkala hatinya mula bergelora. Hazimi memejamkan matanya. Tidak mahu nafsu lelakinya meruntuhkan tembok keegoannya.
           
AMIERA meletakkan night cream yang sedang dipakainya. Hatinya benar-benar tersentuh dengan tindakan Hazimi. Amiera bangun perlahan-lahan dari kerusi. Dipandanginya Hazimi yang diyakini sedang tidur. Amiera menghampiri almari pakaian lantas mengambil gebar buat suaminya. Dia tahu sangat dengan suhu biliknya menjelang tengah malam. Dia tidak mahu Hazimi kedinginan. Amiera menyelimuti Hazimi. Hazimi tersentak. Dia belum terlena sebenarnya. Dibuka matanya sedikit lantas memfokus pandangannya ke arah Amiera. Amiera mencapai tangan Hazimi lantas disalaminya. Setitik air matanya gugur. Hazimi termangu. Sedihkah Amiera? Soal hatinya. Amiera meletakkan tangan Hazimi perlahan-lahan. Amiera bangun lantas mengucup dahi suaminya lalu menaiki katilnya sambil mengesat matanya. Hazimi tersentuh lagi namun egonya masih tinggi.
           
AMIERA melayani perasaan sedihnya. Salahkah aku mengahwaninya? Terlalu hinakah diriku sehingga aku dia abaikan. Jijikkah dia dengan diriku atau dia sebenarnya telah punya kekasih hati dan aku menghalangnya? Ini bukan malam pertama yang aku impikan. Bukan begini! Jeritannya hanya bergema di dalam hati. Tak terluah keluar dari bibirnya. Makin difikirkan makin sedih hatinya. Amiera menahan sebak yang menongkol di dada.

AMIERA tersedar dari lenanya. Nyenyaknya malam tadi bertemankan air mata. Ah, betapa sukarnya untuk mentafsir perasaan. Dia mengerling ke arah jam di dinding. 6.15 pagi. Dia menggeliat sedikit. Matanya melilau mencari kelibat Hazimi namun tiada. Amiera menjuntaikan kakinya. Matanya memandang bilik pengantinnya yang terhias indah. Fikirannya di awang-awangan. Benarkah aku sudah bersuami. Jika benar mengapa aku tidak merasakan kebahagiaannya? Soal hatinya. Dalam melayan angannya, pintu bilik air terkuak. Amiera terkejut. Lamunanya terhenti.
            “ Kenapa awak tak kejutkan saya?” soal Amiera. Hazimi hanya memandang Amiera sepintas lalu. Tuala di bahunya disangkut di tempat penyidai.
            “ Manalah saya tahu yang awak ni tak uzur. Dah lah, saya nak solat,” jawab Hazimi lantas membentangkan sejadah.
            “ Awak dah lupa ke apa yang kita janjikan dulu? Saya nak solat jemaah dengan awak,” pintas Amiera pantas.
            “ Hem..cepat sikit,” jawab Hazimi akhirnya.

AMIERA mengaminkan bacaan doa yang dibacakan suaminya. Amiera menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Hazimi. Huluran bersambut namun baru saja dia mahu mengucup tangan suaminya, Hazimi mengelak pantas. Tangannya dilarikan. Amiera terkedu. Sebak mulai menghimpit hatinya.
            “ Hazimi kenapa awak buat saya macam ni? Apa salah saya?” soal Amiera pilu. Hazimi hanya mendiamkan diri. Malas menjawab soalan Amiera. Amiera menarik jubah sembahyangnya.
            “ Tak bolehkan awak menerima saya sebagai isteri awak? Bukan saja dari segi luaran, tapi jugak dari segi dalaman?” pinta Amiera mengharap.
            “ Kau ni kenapa? Pagi-pagi dah memekak. Bising tahu tak. Hei, dengar sini Tengku Amiera Shaziera..aku kawin dengan kau sebab ikut kemahuan mama aku. Bukan sebab aku cintakan kau. Ingat..dalam hati aku, kau tak akan ada ruang untuk mendudukinya,” ujar Hazimi lantas berlalu keluar meninggalkan Amiera. Ya Allah, beratnya ujian yang kau timpakan padaku. Berikanlah aku kekuatan. Doanya di dalam hati.

AMIERA menapak menuruni anak tangga perlahan-lahan. Dia bagaikan terpaku seketika apabila melihat batang tubuh Hazimi yang terbaring di atas sofa di ruang tamu. Sekali lagi, air mata pilunya menitis. Begitu sekali dia bencikan aku sampai sanggup tidur dekat luar sebab tak nak sebilik dengan aku. Sampai hati awak buat saya macam ni Hazimi. Tangis Amiera dalam diam. Amiera menghampiri Hazimi. Tubuh suaminya digoncang perlahan.
            “ Hazimi, bangunlah. Naik tidur kat atas,” ujar Amiera perlahan.
            “ Insyirah..maafkan saya,” ujar Hazimi tiba-tiba. Amiera tersentak. Insyirah? Siapa dia? Hati hawanya diusik cemburu namun cepat saja perasaan itu ditepis.
            “ Hazimi..bangunlah,” ujar Amiera sedikit keras. Hazimi tersedar namun masih dalam keadaan mamai.
            “ Kalau awak mengantuk sangat, pergi naik tidur dalam bilik,” arah Amiera. Hazimi hanya menurut. Memang matanya masih mengantuk dan masih sukar untuk dibuka.
            Amiera melangkah ke dapur sebaik saja kelibat Hazimi menghilang. Amiera menghampiri Ummi Zaharah yang sedang sibuk menyediakan sarapan.
            “ Assalamualaikum umi,” sapa Amiera lantas merapati uminya.
            “ Waalaikumussalam Miera…Jimi mana?” soal Ummi Zaharah.
            “ Ada dekat bilik. Tidur. Penat sangat agaknya umi,” jawab Amiera perlahan.
            “ Hai, baru satu hari dah penat,” usik Ummi Zaharah bersahaja sambil tangannya lincah menyusun pulut dakap di dalam piring. Amiera yang sedang mengacau air kopi tersentak.
            “ Umi ni!” jerit Amiera kecil. Malu diusik begitu walhal semalam tiada apa pun yang terjadi di antara dia dengan Hazimi.
            “ Miera, duduk sini kejap,” pinta Ummi Zaharah. Amiera yang baru menyusun cawan di dalam dulang kembali mengahampiri uminya.
            “ Sekarang, Miera kena ingat yang Miera dah jadi isteri orang. Kalau dulu apa-apa yang Miera buat Miera kena bagitahu umi dengan walid tapi sekarang, Miera kena minta izin dari suami Miera. Ingat, walau di mana Miera berada, suami Miera yang perlu diutamakan. Taati suami kerana itulah jalan yang akan membawa Miera dekat dengan Tuhan,” pesan Ummi Zaharah panjang lebar.
            “ Insya-Allah umi,” jawab Amiera. Di sebalik dinding, Hazimi sedang menahan perasaannya mendengar perbualan antara Amiera dan Ummi Zaharah.

SUASANA di meja makan riuh-rendah dengan suara-suara kecil yang merengek kelaparan.
            “ Adha, sabar lah kejap. Umi tengah sendukkan mihun kan tu,” pujuk Tengku Halim sebaik saja mendengar anaknya merengek meminta makanan. Adura hanya memandang gelagat adiknya.
            “ Entahlah adik ni. Tengok akak, sabar. Rezeki kalau tamak-tamak nanti tak dapat langsung,” ujar Adura yang berusia tujuh tahun itu menasihatkan adiknya yang berusia empat tahun. Meja makan dipenuhi gelak ketawa mendengar kata-kata dari mulut mungil anak cilik itu.
            “ Amboi…pandai Dura cakap…” usik Amiera.
            “ Mestilah..kan cik su yang ajar dulu kan..” jawab Adura petah.
            “ Tapi Dura, cik su pun ajar..depan rezeki tak baik bercakap. Nanti rezeki lari. Jadi, baik Dura diam. Nanti Tok Ayah, nenek, ayah long, mak long, ayah ngah, mak ngah dan semua orang tak boleh makan sebab makanan lari,” sela Aiman pula. Satu-satunya anak lelaki Tengku Azlan. Adura memasamkan mukanya mendengar kata-kata Aiman.
`           “ Betul tu. Diana sokong Abang Aiman. Kak Dura banyak cakap lah,” celah Diana, anak sulung Tengku Farhan dan Azwani. gamat lagi meja makan itu jadinya. Hazimi tersenyum dengan telatah anak-anak saudara Amiera yang melucukan. Sesungguhnya, baru kali ini dia merasakan suasana keluarga yang benar-benar bahagia. Hatinya dicuit duka tiba-tiba.




UMMI ZAHARAH memeluk anaknya. Amiera membalas pelukan uminya.
            “ Umi, bukannya Miera tak boleh jumpa dengan umi lagi. Miera cuma berpindah duduk rumah suami Miera. Umi janganlah sedih begini,” pujuk Amiera. Ummi Zaharah mengukir seulas senyuman. Anaknya kini milik orang.
            “ Yalah. Ingat pesan umi, layan suami baik-baik. Sentiasa bawa berbincang. Miera kena ingat, Miera nak buat apa pun sekarang ni, Miera kena minta izin dulu. Faham Miera?” pesan uminya. Amiera mengangguk. Walidnya pula di salami. Hazimi turut menyalami Ummi Zaharah dan Tengku Azhar.
            “ Walid minta maaf pada Jimi jika ada kurang pada Amiera. Kalau ada kurangnya maafkanlah, silap kamilah tidak mengajarnya dengan betul. Ada apa masalah bawak berbincang. Jangan buat keputusan melulu. Ingat sabda Rasulullah, manusia Hawa diciptakan dari rusuk kanan manusia Adam, bukan dari kepala untuk menjadi atasnya..bukan dari kaki untuk menjadi alasnya melainkan dari sisinya untuk dijadikan teman hidupnya, dekat dengannya untuk dilindunginya dan dekat dihatinya untuk dicintainya,” pesan Tengku Azhar lantas mengusap kepala Hazimi. Hazimi tersentak. Belaian yang seringkali didambakan dari papanya. Pertama kali dia merasakan dirinya mendapat penghargaan dari seorang ayah. Bukan dari papanya melainkan walidnya.
            “ Ya walid..saya akan jaga Miera baik-baik,” ucap Hazimi kemudiannya

SUASANA di dalam kereta bungkam. Hazimi dan Amiera sama-sama membisu. Suasana sunyi yang entah mengapa melenakan Amiera. Hazimi menghentikan pemanduannya. Di pandanginya Amiera yang lena padahal perjalanan dari rumah mentuanya ke rumah mereka hanya dua puluh minit.
            “ Miera, bangun..kita dah sampai,”  ujar Hazimi sambil menggoncang bahu Amiera.
            “ Izham..” terpacul nama itu dari bibir Amiera. Hazimi terkedu. Entah mengapa perasaan cemburu mendatanginya.
            “ Miera..bangun.. kita dah sampai,” ujar Hazimi lagi. Amiera membuka matanya.
            “ Kita dah sampai ke awak?”soal Amiera. Hazimi mengangguk lantas keluar dari kereta. Bonet kereta di buka dan barang-barangnya diambil. Amiera mendapatkan suaminya. Dia membawa sebahagian barang-barangnya masuk ke rumah. Amiera terpegun seketika melihat rumah banglo itu. Cantik..desis hatinya. Sebaik saja melangkah masuk, Amiera mengitari ruang tamu rumah tersebut.
            “Miera, macam yang saya cakapkan.. awak tidur di bilik utama dan saya tidur di bilik tetamu. Faham..” ujar Hazimi kasar. Dahi Amiera berkerut. Nada suara Hazimi jelas menunjukkan dia marah.
            “ Saya tahulah tapi janganlah nak marah-marah macam ni. Dekat mana bilik utama?” soal Amiera.
            “ Dekat sana,” ujar Hazimi lantas menunujukkan arah bilik utama. Amiera mengambil barang-barangnya lantas menuju ke arah biliknya.
Amiera memulas tombol biliknya.
            “ Wah..cantiknya bilik ni,” ujar Amiera seraya menuju ke balkoni rumah. Pemandangan yang lebih menakjubkan disaksikannya. Biliknya betul-betul menghadap ke arah kawasan perbukitan yang menghijau. Dihalakan pula pandangannya kearah taman mini. Jelas kedengaran air mengalir dari air terjun buatan. Terasa damai seketika. Tanpa dia sedari Hazimi menghampiri.
            “ Macam mana? Awak suka tak bilik ni?” soal Hazimi lembut.
            “ Suka..awak tak menyesal ke berikan saya bilik ni?” soal Amiera kembali. Hairan juga dirinya tatkala mendengar suara suaminya yang bernada lembut. Tadi kasar..pelik la laki aku ni..desis hatinya sendiri.
            “ Kalau awak suka tak ada apa yang saya nak sesalkan,” jawab Hazimi. Suasana kembali sunyi.
            “ Miera.. kalau saya tanya awak sesuatu boleh tak?” soal Hazimi meminta keizinan.
            “ Tanyalah.. saya akan menjawabnya,” ujar Amiera tulus. Hazimi terdiam seketika. Dia tidak tahu hendak bertanya bagaimana.
            “ Hazimi? Kenapa senyap je ni?” soal Amiera.
            “ Tak ada apa lah. Awak rehatlah. Nanti saya bawak awak keluar makan. Dekat dapur tu tak ada apa yang boleh di makan,” ujar Hazimi.
            “ Erm.. Hazimi, nanti awak bawa saya ke pasaraya..beli barang-barang untuk masak,” ujar Amiera.
            “Tak payahlah. Kita makan dekat luar aja,” jawab Hazimi.
            “ Kalau ya pun tak kan hari-hari nak makan dekat luar? Kena lah juga makan dekat rumah. Lagipun minggu ni saya tak kerja,” ujar Amiera. Hazimi akhirnya bersetuju.
            “ Amiera awak pandai masak ke?” soal Hazimi. Amiera mengerutkan wajahnya.
            “ Kenapa awak tak percaya ke saya boleh masak?” soal Amiera kembali.
            “Just wait and see,” ujar Hazimi sambil menjungkitkan bahunya, Amiera tertawa. Ayat yang pernah dilemparkan pada suaminya satu ketika dahulu. Hazimi terkedu mendengar tawa Amiera yang galak . Pertama kali dia mendengar alunan tawa Amiera. Terasa tenang dan damai hatinya dengan alunan tawa itu

No comments:

Post a Comment